Berita Harian

Gesa percepat kemasukan tenaga kerja asing

-

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengambil langkah proaktif mempercepa­tkan kerjasama dengan negara luar, terutama negara sumber, dengan memudahkan proses kemasukan tenaga kerja asing bagi menampung keperluan di Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmat­an Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr Sukumaran Nair, berkata ia berikutan masih banyak sektor, khususnya perladanga­n sawit, dilapor kekurangan tenaga kerja ketika ini.

Beliau berkata, isu itu dilihat berpunca daripada proses kedua selepas kerajaan membenarka­n pekerja asing masuk ke negara ini, iaitu urusan dokumentas­i membabitka­n beberapa pihak termasuk kedutaan negara sumber di Malaysia.

“Selepas mendapat kuota kelulusan, majikan perlu membayar levi di Kementeria­n Dalam Negeri (KDN). Proses seterusnya agak panjang membabitka­n dokumentas­i di kedutaan negara asing berkenaan.

“Sebagai contoh, sektor perladanga­n. Kebanyakan ladang di Malaysia hanya membawa masuk pekerja dari tiga negara sumber, iaitu Bangladesh, India dan Indonesia.

“Namun, ketiga-tiga negara itu memerlukan proses pengesahan dalam tempoh panjang. Justeru, Malaysia perlu serius menangani masalah ini, seperti berbincang dengan pihak kedutaan supaya satu persefaham­an dapat dicapai untuk kebaikan semua,” katanya kepada BH.

Kelmarin, BH melaporkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menegaskan isu kekurangan pekerja di ladang sawit tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan sudah membenarka­n pengambila­n 200,000 tenaga buruh asing, terutama dari Indonesia.

Saravanan dipetik berkata, kini majikan hanya perlu membayar levi dan mengikut syarat ditetapkan untuk membawa masuk pekerja asing.

Mengulas lanjut, Sukumaran menyaranka­n supaya kerajaan, terutama Kementeria­n Sumber Manusia, membuat perancanga­n dan meneliti kaedah mempercepa­tkan proses terbabit.

“Kerajaan perlu berhubung dengan negara sumber untuk mencari jalan penyelesai­an menyempurn­akan proses panjang itu, bermula daripada pengesahan hinggalah ke lapangan terbang di Malaysia.

“Proses itu sepatutnya dipermudah­kan, termasuk dari segi pengiklana­n, laporan perubatan, pengeluara­n visa dan orientasi pekerja,” katanya sambil mendakwa ramai majikan masih ternanti-nanti, walaupun kuota buruh asing sudah diluluskan sejak beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (PIKAP), Fiona Low, berkata masalah kekurangan pekerja juga dialami restoran yang terpaksa melaksanak­an perkhidmat­an layan diri.

Selain itu, beliau berkata, sektor perladanga­n juga berdepan cabaran hebat susulan permasalah­an sama.

“Kuota 200,000 pekerja asing itu sangat diperlukan. Malah, perlu ada penambahan kerana sebilangan pekerja sedia ada bakal tamat kontrak.

“Kekosongan itu perlu diganti bagi memenuhi keperluan sektor yang memerlukan tenaga asing, sekali gus menarik perhatian pelabur untuk memilih Malaysia sebagai tapak perusahaan mereka,” katanya.

Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA), Datuk Foo Yong Hooi pula mencadangk­an kerajaan mewujudkan ‘laluan pantas’ bagi proses kemasukan buruh asing untuk memenuhi keperluan sektor perladanga­n.

“Ia harus diuruskan pasukan petugas khusus bagi memastikan negara kita dapat meraih pendapatan daripada jualan minyak sawit,” katanya.

 ?? (Foto hiasan) ?? Pekerja asing diperlukan bagi tampung kekurangan tenaga kerja.
(Foto hiasan) Pekerja asing diperlukan bagi tampung kekurangan tenaga kerja.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia