Berita Harian

Kebun sayur organik atas bumbung

-

Usahawan muda, rakan kongsi praktik konsep lestari hasilkan produk lebih segar

Kuala Lumpur: Latar belakang industri makanan dan minuman tidak menghalang usahawan muda, Emil Jihad, 32, meneroka bidang pertanian dengan menanam dan menjual sayur-sayuran organik.

Penanaman pintar secara rumah hijau itu menggunaka­n sistem akuaponik (gabungan ternakan ikan dan sayuran) di atas bumbung pusat beli-belah di Petaling Jaya, yang berkeluasa­n kira-kira 7,000 kaki persegi.

Kebun sayuran yang dikenali sebagai Fresh Growcer itu juga memberikan pengalaman menyeronok­kan apabila pelanggan boleh memetik sendiri sayur yang masih segar untuk dibawa pulang.

Berkongsi mengenai usahanya itu, Emil berkata, perniagaan yang dimulakan sejak Mac itu bersama seorang lagi rakan kongsinya, Tony Yong, 52, mempraktik konsep lestari dan mampan, bagi menghasilk­an tanaman yang lebih selamat apabila dimakan.

Beliau berkata, penggunaan racun serangga perosak ke atas penanaman sayur-sayuran dikhuatiri membahayak­an kesihatan, selain banyak sayuran yang dijual di pasar didakwa bebas daripada racun, namun masih ada yang diragui kebenarann­ya.

“Pelanggan boleh melihat dengan mata sendiri sistem air yang digunakan untuk tanaman sayur-sayuran dikongsi bersama dengan ternakan ikan dan sisa ikan itu pula akan menyediaka­n sumber makanan organik untuk sayur-sayuran secara semula jadi.

“Sebaliknya, jika menggunaka­n semburan racun atau baja kimia sudah tentu ikan akan mati dan ia boleh mengurangk­an kandungan nutrisi sayuran yang ditanam,” katanya.

Beliau berkata, rumah hijau itu turut memaksimum­kan penjimatan seperti penggunaan cahaya matahari 100 peratus dan kipas ekzos sebagai pengudaraa­n.

Mengenai pemilihan bumbung pusat beli-belah sebagai kebun sayuran, Emil berkata itu tempat strategik bagi memudahkan golongan bandar mendapatka­n bekalan sayuran yang segar dengan cepat dan merasai persekitar­an kebun dengan lebih dekat.

Berkongsi cabarannya pula, Emil mengakui tanaman sayuran organik memerlukan lebih penelitian berbanding tanaman secara konvension­al dan perlu memastikan bekalan yang ada sentiasa dapat memenuhi permintaan pelanggan.

“Purata tumbesaran sayuran untuk mencapai tempoh matang ialah 35 hari. Setakat ini kita masih lagi mampu menampung permintaan dan sayuran yang menjadi pilihan akan diberikan keutamaan dari segi jumlah tanaman berbanding sayur lain,” katanya.

Emil yang sebelum ini menetap di New York, Amerika Syarikat kembali ke Malaysia kira-kira lima tahun lalu berkata, kebun sayur organik itu menawarkan pelbagai jenis sayuran seperti bayam merah, sawi pendek, sawi bunga, salad, selasih Itali, cili padi selain ternakan ikan tilapia dan buah-buahan organik yang dibawa dari kampung.

BERNAMA

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Emil (kanan) memberi penerangan kepada pelanggan mengenai tanaman sayuran organik di kebun Fresh Growcer di atas bumbung pusat beli-belah di Petaling Jaya, baru-baru ini.
(Foto BERNAMA) Emil (kanan) memberi penerangan kepada pelanggan mengenai tanaman sayuran organik di kebun Fresh Growcer di atas bumbung pusat beli-belah di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia