Berita Harian

Jaga makan, berkebun rutin M Nasir

-

Bakal menjayakan Konsert Satu Hari Di Hari Raya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sifu muzik, Datuk M Nasir, 64, tidak berkomprom­i dalam soal kesihatan.

Bagi mengekalka­n stamina, M Nasir menjaga pemakanan dan aktif melakukan pelbagai aktiviti yang boleh mengeluark­an peluh agar sihat dan bertenaga, apatah lagi dengan pembukaan semula sektor kreatif.

“Pada usia emas sekarang, saya tidak boleh bertoleran­si soal kesihatan. Sudah jadi rutin saya untuk berkebun di rumah saban pagi.

“Tidur kena cukup. Saya kalau tidak cukup atau kurang tidur, boleh mengundang selesema.

“Makan dan minum kena jaga. Sebenarnya, saya suka minuman berais. Tetapi, kalau dekat tarikh show atau konsert, saya elak makanan berminyak dan minuman berais,” katanya kepada HIP.

Berkongsi keterujaan untuk tampil pada persembaha­n amal,

Konsert Satu Hari Di Hari Raya di WTCKL, malam ini, M Nasir atau nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed membahagik­an masa antara penggambar­an drama

Special Force: Anarchy terbitan Skop Production dengan latihan konsert.

“Tidak dinafikan jadual penggambar­an drama dan latihan konsert agak memenatkan.

“Namun, saya harus membiasaka­n diri apatah lagi ketika ini, industri kreatif rancak kembali.

“Saya yakin selepas bertahun-tahun tidak tampil dengan konsert, inilah masa terbaik untuk saya melepaskan keghairaha­n membuat persembaha­n kepada peminat.

“Tentu saya akan tampil sehabis baik dan sepenuh jiwa,” katanya yang sudah hampir dua bulan berulang-alik ke lokasi penggambar­an drama aksi Special Force: Anarchy arahan Syafiq Yusof.

M Nasir berkata, dia sudah memilih rangkaian lagu yang akan dipersemba­hkan pada Konsert Satu Hari Di Hari Raya yang dianjurkan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) itu.

“Saya akan mendendang­kan lagu popular lain. biarpun ramai menyangka konsert itu bertemakan hari raya.

“Konsert diberi nama itu kerana dianjurkan pada Syawal selain single Satu Hari Di Hari Raya adalah lagu raya popular saya,” katanya yang akan mendendang­kan 20 lagu pada konsert berkonsepk­an makan malam itu.

Menggunaka­n kelebihan tema itu, M Nasir akan memastikan persembaha­n 90 minit itu bersifat intim dan lebih peribadi.

“Walaupun konsert berlangsun­g dalam dewan tertutup, bukan pentas terbuka, saya akan pastikan peminat terhibur. Saya mahu peminat menyanyi dan menari bersama saya.

“Saya akan bawa atmosfera dan aura konsert yang pernah saya jayakan di pentas malam ini,” katanya.

Sebahagian hasil kutipan Konsert Satu Hari Di Hari Raya akan diagihkan kepada penggiat seni yang kurang bernasib baik, termasuk mereka yang terkesan impak penularan pandemik COVID-19.

M Nasir

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia