Berita Harian

Chong Wei gesa cari ‘kembar’ Zii Jia

-

Kuala Lumpur: Berbaki dua tahun sebelum Sukan Olimpik Paris 2024, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu tampil dengan misi melahirkan sekurang-kurangnya seorang lagi pemain perseorang­an lelaki untuk mengiringi Lee Zii Jia beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Beberapa pemain muda yang berada dalam badan induk itu dilihat berpeluang untuk layak ke Paris, namun ia memerlukan kebijaksan­aan BAM untuk merangka program terbaik bagi menyerlahk­an potensi sebenar mereka.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, berkata langkah pertama yang perlu diambil adalah mengenal pasti masalah membelengg­u proses peningkata­n prestasi pemain muda yang disifatkan agak perlahan.

“Ini adalah tanggungja­wab Wong Choong Hann (Pengarah Kejurulati­han Perseorang­an BAM) untuk duduk bersama barisan jurulatih yang lain bagi mengenal pasti apa masalah yang berlaku. Apa masalah. adakah disebabkan sikap pemain, program latihan atau disiplin.

“Selepas itu, kita cari penyelesai­an dan seterusnya rancang program latihan yang lebih berkesan untuk pemain. Semua ini perlu bermula dari sekarang, dua tahun adalah tempoh yang singkat dan kita tidak boleh buang masa lagi,” kata Chong Wei yang juga pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata, Malaysia tidak boleh hanya bergantung harap kepada Zii Jia untuk membawa cabaran negara di Paris.

“Saya fikir tiada masalah untuk Zii Jia layak dan dia pun tidak lagi bersama BAM. Namun, fokus sekarang adalah bagaimana kita mahu ada seorang lagi wakil di Olimpik. Siapa yang menjadi sandaran BAM untuk tujuan ini.

“Jika Ng Tze Yong, bagaimana BAM mahu rancang program untuk dia terutama bagi meningkatk­an kedudukan ranking dunianya kerana untuk ada dua wakil dalam acara perseorang­an perlu berada dalam kelompok 16 terbaik dunia.

“Pusingan kelayakan Olimpik akan bermula pada 1 Mei tahun depan. Tze Yong (ranking ke-48 dunia) perlu berada sekurang-kurangnya dalam kelompok 28 terbaik dunia pada hujung tahun ini bagi membolehka­n dia menyertai kejohanan Siri Super tahun depan untuk mengutip mata layak ke Olimpik ,” katanya.

Pusingan 2 ARRC

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia