Berita Harian

Kembar siam pramatang dibenar pulang

- Oleh Suzalina Halid

Pasangan menetap lebih dua bulan di hospital selepas dipisahkan suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Selepas lebih dua bulan ‘menetap’ di hospital, akhirnya pasangan bayi kembar siam pramatang yang berjaya dipisahkan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Mac lalu pulang ke rumah mereka di Taman Aulong Maju, Larut Matang, Perak, kelmarin.

Ibu pasangan bayi itu, Deborah Anne Vince, 29, berkata Daelan Hope Marshall dibenarkan pulang ke rumah kira-kira dua minggu lalu manakala adiknya, Daevyn pula keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, semalam.

Deborah berkata, perasaanny­a kini lega apabila kedua-dua bayinya itu kini berada di depan mata dan akhirnya dapat merasai suasana kasih sayang keluarga.

“Keadaan mereka baik malah kini abang dan adik sudah boleh memberikan maklum balas seperti tersenyum apabila kita bercakap sama seperti bayi normal yang lain.

“Bagi Daelan, hanya pemeriksaa­n susulan biasa diperlukan, cuma adiknya dikehendak­i melakukan pemeriksaa­n bulan depan berikutan lukanya memerlukan ‘dressing’ (tatacara steril).

“Selain itu, Daevyn juga perlu melakukan pemeriksaa­n susulan bagi buah pinggang dan jantung selain fisioterap­i,” katanya kepada

BH, di sini.

Pada 19 Mac lalu, HTA melakar sejarah apabila pasangan kembar siam pramatang seberat 2.7 kilogram (kg) yang pertama di Malaysia berjaya dipisahkan.

Pembedahan itu membabitka­n pasukan perubatan disertai 13 doktor pakar, termasuk enam pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara berserta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.

Pasangan kembar siam jenis Omphalopha­gus itu berjaya dipisahkan dalam masa 66 minit tanpa komplikasi utama dan didapati berkongsi bahagian hati, manakala organ lain didapati normal.

Pada masa sama, Deborah berkata, selepas hampir sebulan di HTA, bayinya kemudian dipindahka­n ke HRPB pada 10 April bagi rawatan susulan.

Deborah berkata, dalam pada gembira kerana akhirnya kedua-dua permata hatinya kini lebih dekat, namun pembantu klinik ini mengakui pengalaman menjaga bayi kembar mendatangk­an suatu pengalaman berbeza buat dirinya kerana ia lebih mencabar.

“Kadang kala kalau abang menangis, adik pula akan ikut menangis namun ia adalah perkara biasa perlu dilalui seorang ibu.

“Malah saya bersyukur kerana urusan menjaga kedua-dua bayi juga dipermudah­kan kerana mereka hanya bangun untuk menyusu selain saya turut dibantu ibu dan kakak,” katanya.

Daelan dan Daevyn adalah anak kedua Deborah dan suaminya, David Marshall, 34, yang mana anak sulung mereka kini berusia tujuh tahun.

 ?? (Foto ihsan keluarga) ?? Pasangan kembar siam, Daevyn (kanan) dan Daelan berjaya dipisahkan pada 19 Mac lalu.
(Foto ihsan keluarga) Pasangan kembar siam, Daevyn (kanan) dan Daelan berjaya dipisahkan pada 19 Mac lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia