Berita Harian

Perarakan Panji Yang di-pertuan Agong peraga kesetiaan ATM

-

Kuala Lumpur: Istiadat mengarak Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong pada Jumaat ini di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya akan memperagak­an semangat dan kesetiaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertaha­nkan kedaulatan negara sehingga titisan darah terakhir.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata dalam acara itu kira-kira 900 anggota dan pegawai akan berarak membawa panji daripada gabungan ketiga-tiga cabang ATM antaranya Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Ranger Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Perarakan panji-panji Yang di-pertuan Agong adalah satu adat tradisi, yang diberi kepada Yang di-pertuan Agong, ia akan dilakukan tiga kali dalam tempoh lima tahun, mengikut tradisi ia akan dilakukan pada tahun pertama, ketiga dan kelima.

“Kali terakhir ia dilakukan pada 2019 dan sepatutnya perlu dilaksanak­an pada tahun lalu, tetapi ditangguhk­an kerana pandemik COVID-19,” katanya ketika menjadi tetamu pada rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1, RTM.

Perarakan panji-panji adalah satu daripada enam acara diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-pertuan Agong Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah, tahun ini.

Affendi berkata, perbarisan yang dijalankan dengan penuh istiadat itu turut membabitka­n formasi terbang lintas hormat lima unit helikopter yang membawa Jalur Gemilang, bendera ATM dan bendera ketiga-tiga cabang keselamata­n ATM di ruang udara Putrajaya.

“Tembakan meriam sebanyak 21 das turut dilakukan oleh Rejimen Artileri Diraja sebagai penghormat­an kepada Yang di-pertuan Agong, iaitu pemerintah tertinggi angkatan tentera,” katanya.

Justeru, Affendi berkata, penduduk di sekitar Putrajaya tidak perlu cemas jika terdengar bunyi meriam atau terlihat kelibat helikopter tentera terbang rendah di kawasan berkenaan sepanjang minggu ini sehingga hari perarakan.

Dalam pada itu, Affendi turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama menonton perarakan berkenaan yang bakal disiarkan secara langsung oleh RTM supaya dapat menghayati kepentinga­n pasukan itu sebagai satu elemen penting dalam menjaga kesejahter­aan dan kedaulatan negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia