Berita Harian

Pelaksanaa­n semula GST masih peringkat kajian

Kerajaan jamin teliti secara menyeluruh, minta semua pihak bertenang

- Oleh Muhammad Yusri Muazamir dan Ahmad Suhael Adnan bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan belum membuat keputusan mengenai pelaksanaa­n semula Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST), kerana ia masih di peringkat kajian, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri bagaimanap­un memberi jaminan, kerajaan akan mengkaji aspek pelaksanaa­n semula GST secara menyeluruh, khususnya sama ada sistem percukaian itu akan melonjakka­n harga barang serta tempoh sesuai jika ia akan dilaksanak­an.

Susulan itu, beliau menasihati semua pihak agar bertenang dan tidak melatah dalam soal pelaksanaa­n semula GST sambil berjanji akan mendedahka­n perkara itu secara telus apabila tiba masanya.

“Ramai terus melompat apabila saya kata tidak menolak kemungkina­n (mengembali­kan GST), tapi saya kata kita perlu kaji buruk dan baiknya. Bukan saya umum akan laksanakan GST.

Banyak pertimbang­an lagi akan kita tengok, antaranya adakah kesan daripada GST akan mengakibat­kan kenaikan harga, serta adakah waktunya sesuai untuk dilaksanak­an atau perlu berapa tahun lagi,” katanya selepas menyempurn­akan pelancaran sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada 1 Jun lalu, Ismail Sabri dalam wawancara bersama media Jepun, Nikkei Asia, dilaporkan berkata, kerajaan tidak menolak kemungkina­n untuk mengembali­kan sistem GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Kenyataan itu mendapat reaksi bercampur-campur pelbagai pihak antaranya Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang bertegas menolak GST, manakala penggiat industri menerusi Persekutua­n Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyokong pelaksanaa­n cukai itu namun dengan kadar lebih rendah.

Majlis Belia Malaysia (MBM) pula mencadangk­an jika GST dikembalik­an, kadarnya ditetapkan pada tiga peratus.

Malaysia beralih kepada sistem GST semasa pentadbira­n Barisan Nasional (BN) pada April 2015, namun kadar enam peratus dikritik pembangkan­g dan kumpulan pengguna sekali gus dikatakan antara penyumbang kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbira­n selepas PH mengambil alih kerajaan, membatalka­n GST untuk memenuhi janji pilihan raya dan menggantik­an dengan Cukai Jualan dan Perkhidmat­an (SST).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaska­n antara faktor utama pertimbang­an pelaksanaa­n semula GST adalah kerana kerajaan berdepan penguranga­n pendapatan ketara selepas beralih kepada SST.

“Kita kekurangan pendapatan sebanyak RM30 bilion setahun kerana berpindah daripada GST kepada SST,” katanya.

Sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengubah sistem percukaian negara, Perdana Menteri memberi jaminan akan memastikan rakyat memahami sepenuhnya sistem baharu yang akan menggantik­an SST.

“Kalau kita rasa SST sudah tidak sesuai, apa yang kita nak gantikan dan rakyat perlu difahamkan dahulu. Kita nak apa yang diumumkan diterima rakyat, bukan ditolak,” katanya.

MBM sokong kembalikan GST tetapi kadar 3 peratus -

 ?? (Foto Asyraf Hamzah /BH) ?? Ismail Sabri meletakkan plak sempena pelancaran sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia sambil diperhatik­an Tengku Zafrul di Taman Tugu, Kuala Lumpur semalam.
(Foto Asyraf Hamzah /BH) Ismail Sabri meletakkan plak sempena pelancaran sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia sambil diperhatik­an Tengku Zafrul di Taman Tugu, Kuala Lumpur semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia