Berita Harian

PM minta maklum balas perkembang­an terkini

- Oleh Muhammad Yusri Muzamir dan Ahmad Suhael Adnan bhnews@bh.com.my

Penggubala­n akta berkaitan alam sekitar

Undang-undang khas perlu segera elak penceroboh­an

Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementeria­n Alam Sekitar dan Air (KASA) segera membentang­kan perkembang­an terkini penggubala­n akta berkaitan alam sekitar pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah lama membincang­kan perihal penggubala­n akta berkaitan alam sekitar, namun belum ada maklum balas terperinci mengenainy­a diterima.

“Saya akan tekankan supaya undang-undang alam sekitar ini disegeraka­n pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini kerana kita tahu banyak penceroboh­an dan sebagainya yang berlaku.

“Di sini (Taman Tugu Negara) difahamkan adalah tempat pembuangan sampah haram. Sepatutnya kawasan hutan hujan ini dijaga dengan baik tetapi dijadikan tempat pembuangan sampah.

“Perkara seperti ini yang memerlukan undang-undang khas supaya tiada pelanggara­n berkaitan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutua­n,

Datuk Seri Shahidan Kassim di sini, semalam.

Mengulas pendedahan BH berhubung ramalan Malaysia mengalami cuaca ekstrem dalam 10 tahun lagi, Perdana Menteri menjangkak­an perubahan iklim berlaku dengan lebih teruk bagi tempoh sedekad dari sekarang.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menjaga kelestaria­n alam sekitar dalam usaha meminimumk­an impak perubahan iklim.

“Ramalan cuaca ekstrem bukan setakat di Malaysia tetapi seluruh dunia, malah beberapa kawasan dilanda banjir walaupun dahulunya tidak berlaku.

“Dulu kita boleh jangka monsun timur laut antara November hingga Januari, namun kini berlaku pada bila-bila masa. Di Kuala Lumpur pula berlaku banjir kilat kerana hujan lebat.

“KASA sedang sediakan pelan jangka pendek membabitka­n projek tebatan banjir. Di Kuala Lumpur, saya dimaklumka­n projek tebatan banjir sudah dimulakan bagi mengelak banjir kilat,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Perdana Menteri berkata, komitmen dan kerjasama serantau serta antarabang­sa diperlukan bagi menangani pelbagai cabaran akibat perubahan iklim.

Tegasnya, Malaysia komited memenuhi visi mencapai tahap sifar karbon menjelang 2050, termasuk menggubal undang-undang berkaitan perubahan iklim sebagaiman­a dinyatakan pada Persidanga­n Nikkei di Jepun, baru-baru ini.

Ismail Sabri berkata, Malaysia akan bekerjasam­a dengan negara Asia yang berkongsi visi ‘Asia

Zero Emission Community’, selari komitmen negara ketika Persidanga­n Perubahan Iklim 21 di Paris, Perancis, pada 2015.

Beliau berkata, ia bertujuan membendung pemanasan global dengan mengekalka­n purata peningkata­n suhu global abad ini di bawah dua darjah Celcius.

“Bagi menyokong visi dan komitmen alam sekitar itu, Malaysia juga meletakkan sasaran jangka panjang. Antaranya, kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

“Selain itu, mengekalka­n sekurang-kurang 50 peratus liputan hutan negara serta melaksanak­an kaedah ‘natural-based solution’ seperti menanam 100 juta pokok dan meningkatk­an kadar kitaran semula kepada 40 peratus menjelang 2025,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia