Berita Harian

JPP timbang laksana audit forensik pemilihan PKR

-

Kuala Lumpur: Jawatankua­sa Pemilihan Parti (JPP) PKR sedang mempertimb­angkan cadangan untuk melaksanak­an audit forensik berhubung undian dalam talian bagi pemilihan tahun ini.

Pengerusin­ya, Dr Zaliha Mustafa mengakui berdasarka­n aduan diterima, ada yang memohon supaya audit forensik dilaksanak­an dan perkara itu sedang diteliti.

Buat masa ini, beliau berkata, JPP sedang memfokus kepada siasatan awal berhubung undi ragu dan aduan dibangkitk­an di cabang, serta melihat kepada kemenangan membabitka­n majoriti tipis di cabang.

“Bagi JPP, kita tidak ada masalah untuk membuat siasatan (audit forensik) itu dalam sistem pemilihan kerana ia akan memberikan keputusan yang betulbetul jelas. Kita masih mempertimb­angkan perkara itu,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas dakwaan calon jawatan Naib Presiden, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bahawa lebih 25,000 undi hilang dalam Pemilihan PKR 2022, baru-baru ini.

Farhash mendakwa seramai 147,000 ahli PKR mengundi calon Timbalan Presiden, namun undi diperoleh Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hanya berjumlah 119,030.

Namun, Ketua Biro Undangunda­ng, Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Chiew Choon Man, dilapor menafikan dakwaan Farhash serta memaklumka­n bahawa ahli PKR tidak diwajibkan mengundi setiap jawatan dalam pemilihan itu.

Dr Zaliha menegaskan bahawa daripada aduan diterima, ada kewajaran untuk audit forensik dijalankan.

“Bagi memastikan perkara itu, maka kita menjalanka­n audit dalaman dulu supaya kita buat dengan teliti sebelum audit forensik dilakukan.

“Biar kita menyelesai­kan dulu isu undi ragu dan permintaan cabang serta calon untuk kiraan semula, termasuk kes yang kalah dengan satu undi. Dalam sehari dua ini akan selesai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, JPP kini memberi tumpuan kepada pencalonan bagi 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) Pusat dan Ahli Majlis Wanita Keadilan Pusat (MPWP).

“Senarai penuh pencalonan itu akan siap pada 7 Jun ini,” katanya.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia