Berita Harian

UTM kuasai Robocon Malaysia 2022

- Oleh Siti Aminah Mohd Yusof bhnews@bh.com.my

Robot R1, R2 bakal wakili negara dalam pertanding­an di New Delhi

Georgetown: Pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal mewakili negara dalam cabaran ABU Asia-pacific Robot Contest (Robocon) di New Delhi, India setelah meraih tempat pertama dan kedua dalam Pertanding­an Robocon Malaysia 2022.

UTM yang mengetenga­hkan dua kumpulan pelajar dari Fakulti Kejurutera­an Elektrik berjaya menewaskan 24 pasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain pada kejohanan yang diadakan di Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia (USM) selama tiga hari berakhir semalam.

Ketua pasukan UTM A, Ephraim Lee, 22, berkata, pihaknya telah melakukan persediaan berdepan Robocon peringkat antarabang­sa dan kebangsaan secara serentak sejak Oktober 2021 dengan menampilka­n robot R1 dan R2 yang masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM5,000 dan RM10,000.

Menurutnya, UTM pernah meraih tempat ketiga dalam pertanding­an ABU Asia-pacific

Robocon yang diadakan secara atas talian di China tahun lalu dan berhasrat memperbaik­i kedudukan pasukannya pada tahap lebih baik.

“Kekuatan R1 ialah ia direka bentuk sebagai robot statik tanpa navigasi dan dilengkapi mekanisme tiga roda tenaga untuk menembak sasaran dengan kelajuan tinggi dan tepat sesuai matlamat pertanding­an.

“Dalam hal ini robot yang dicipta perlu merobohkan lagori atau susunan cakera di tengah medan tempur dan kemudianny­a membina semula lagori itu mengikut aturan warna yang ditetapkan.

“Pendek kata, permainan dimulakan dengan merempuh serta memecahkan lagori dan kemudian membinanya semula dengan pantas untuk memenangi pertanding­an,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Sementara itu, ketua pasukan UTM B, Lee Jia Quan, 21, berkata, pihaknya menghadapi masalah kerosakan motor pada R2 dan proses memperbaik­i komponen itu hanya selesai jam 2 pagi tadi dan sedikit sebanyak mengganggu waktu rehat peserta menjelang peringkat akhir pertanding­an semalam.

“Kelebihan R2 pula ialah ia mempunyai sensor laser yang membuatkan­nya responsif untuk mengenal pasti cakera mengikut saiz dan warna selain mempunyai pencengkam khas serta dilengkapi pencakar belakang untuk menimbun cakera dan mengumpul bola pemukul.

“Jika diikutkan robot kami hanya siap sepenuhnya kira-kira sebulan lalu dan kami sanggup tidur beberapa jam sehari selama beberapa minggu untuk pertanding­an ini ditambah pula jadual kelas dan tutorial yang padat,” katanya menambah setiap IPT bertanding dibenarkan menghantar dua pasukan untuk meningkatk­an peluang kemenangan.

 ?? (Foto Mikail ONG/BH) ?? Pasukan UTM meraih tempat pertama dan kedua pada Pertanding­an Robocon Malaysia 2022 di Georgetown, semalam.
(Foto Mikail ONG/BH) Pasukan UTM meraih tempat pertama dan kedua pada Pertanding­an Robocon Malaysia 2022 di Georgetown, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia