Berita Harian

Pemulihan ekonomi negara pasca pandemik pada momentum terbaik

Pertumbuha­n 3.1 peratus bukti langkah diambil kerajaan mula tunjuk berhasil

- Oleh Ahmad Suhael Adnan ahmad.suhael@bh.com.my

Kuala Lumpur: Proses pemulihan ekonomi negara pasca pandemik ketika ini, berada pada momentum terbaik selepas beberapa langkah diambil menunjukka­n hasil memberangs­angkan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ia berdasarka­n perkembang­an ekonomi negara yang mencatat pertumbuha­n 3.1 peratus berbanding penguncupa­n 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Kerajaan juga bertekad memacu ekonomi untuk mencapai pertumbuha­n antara 5.3 hingga 6.3 peratus seperti yang diunjurkan, selain komited melonjakka­n prestasi perdaganga­n dan pelaburan negara, termasuk memastikan pelaburan langsung domestik terus dirangsang.

“Langkah yang diambil mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabang­sa terhadap prospek pertumbuha­n, sekali gus kemajuan ekonomi negara kekal teguh.

“Sebagai contoh, sepanjang suku pertama tahun ini, pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion berbanding RM18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu.

“Jumlah perdaganga­n luar pula berkembang sebanyak 23.6 peratus kepada RM624.9 bilion manakala aliran masuk bersih dana asing kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Perdana Menteri memaklumka­n pembukaan sempadan negara sejak 1 April lalu merancakka­n usaha pemulihan ekonomi, khususnya sektor pelanconga­n, dengan dua juta pelancong asing dijangka mengunjung­i Malaysia tahun ini dan menyumbang RM8.6 bilion kepada ekonomi negara.

“Kerajaan melalui Kementeria­n Kesihatan (KKM) akan terus memantau situasi semasa jangkitan COVID-19 dan bekerjasam­a dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memastikan kestabilan kesihatan awam berada pada tahap yang memuaskan serta berfungsi dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumka­n, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembang­an global terkini, khususnya isu bekalan dan kenaikan harga bahan makanan yang berlaku akibat konflik Russia-ukraine.

Konflik yang berlaku sebaik selepas pandemik itu memberi kesan pada Malaysia, Asia dan seluruh dunia, berikutan krisis geopolitik itu menjejaska­n rantaian bekalan global hingga menyebabka­n harga bahan makanan dunia meningkat melebihi 30 peratus.

Jelas Perdana Menteri, lima langkah jangka pendek sudah dilaksanak­an bagi mengatasi isu berkenaan, antaranya membatalka­n kelulusan kuota import (AP) barangan makanan dari luar negara serta-merta, menyekat pengekspor­tan ayam ke luar negara dan memperkena­lkan bantuan kewangan secara terus kepada rakyat terutamany­a golongan B40 mulai 1 Julai ini.

Selain itu, kerajaan turut mewujudkan Tabung Agromakana­n dengan dana berjumlah RM500 juta melalui pemberian pinjaman mudah kepada pemain industri agromakana­n, selain mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Lima langkah jangka pendek ini adalah pendekatan Kerajaan Tuanku dalam melindungi seluruh Keluarga Malaysia daripada beban kenaikan harga barangan, selain pelbagai subsidi yang dijangka mencecah RM71 bilion tahun ini.

“Langkah jangka pendek ini disusuli dengan beberapa langkah jangka masa sederhana dan jangka masa panjang untuk menstabilk­an bekalan dan harga makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan terus menambak baik program agenda perlindung­an sosial di seluruh Semenanjun­g, Sabah dan Sarawak, antaranya menerusi fasa pertama Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia bulan lalu yang membabitka­n 80 lokaliti bandar, luar bandar termasuk perkampung­an Orang Asli bagi membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Selain itu, Perdana Menteri menyifatka­n beberapa siri lawatannya ke luar negara baru-baru ini membuktika­n jalinan kerjasama yang baik serta hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dengan negara luar.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h bersama penerima pingat pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaa­n Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutua­n 2022 di Istana Negara, semalam. Turut hadir Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
(Foto BERNAMA) Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h bersama penerima pingat pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaa­n Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutua­n 2022 di Istana Negara, semalam. Turut hadir Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia