Berita Harian

TH sedia pusat rawatan, doktor pakar

-

Madinah: Lembaga Tabung Haji (TH) menyediaka­n pusat rawatan dan doktor pakar yang lebih mudah dan teratur untuk jemaah haji Malaysia dalam usaha memberi perkhidmat­an terbaik kepada mereka.

Pengarah Operasi Makkah (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah, berkata selain itu, petugas kesihatan awam akan melakukan rondaan dari bilik ke bilik untuk memberi penjelasan mengenai kepentinga­n penjagaan asas kesihatan.

“TH membuat persediaan dengan menubuhkan Pusat Rawatan Kesihatan di Madinah iaitu di Bangunan Roha Al Madinah, yang mempunyai 37 katil dengan kekuatan 44 anggota iaitu lima pakar perubatan dalam bidang dalaman, bius dan awam.

“Pusat rawatan ini juga disokong tujuh pegawai perubatan dan 32 petugas lagi termasuk jururawat,” katanya kepada media di Bangunan Roha Al Madinah.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediaka­n klinik bergerak di bangunan penginapan jemaah iaitu Hotel Anwar Al Madinah Moveinpick dan Hotel Saja Al Madinah serta di Lapangan Terbang Antarabang­sa Putera Mohammad Abdulaziz.

Dr Abdul Marsudi yang juga pakar perubatan kesihatan awam di Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat, berkata aktiviti rondaan dari bilik ke bilik bukan saja membabitka­n kesihatan asas, tetapi juga memberi ruang kepada petugas menasihati jemaah mengenai kaedah berdepan cuaca panas.

“Dari segi masalah kesihatan sepanjang musim haji ini, dengan keadaan suhu melebihi 46 darjah Celsius berkemungk­inan berlaku dehidrasi.

“Sebab itu jemaah perlu minum air secukupnya dan mengelak berada di luar pada waktu siang. Hanya jika berada dalam keadaan tertentu dan perlu berada di luar pada waktu siang… kita galakkan mereka berada di tempat teduh atau menggunaka­n payung,” katanya.

Beliau turut mengingatk­an jemaah haji segera mendapatka­n rawatan awal dan bukan menunggu di saat akhir iaitu selepas keadaan tubuh badan semakin lemah.

Katanya, jemaah haji juga disaran peka dengan keadaan sekeliling yang sesak, berdebu dan kering yang mampu menyumbang kepada pelbagai penyakit seperti batuk serta tidak boleh dianggap perkara biasa kerana lama-kelamaan mampu membawa kepada jangkitan paru-paru.

BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia