Berita Harian

Stesen tambahan ECRL pelengkap pengangkut­an awam, logistik

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Usaha jadi pemangkin tingkat ekonomi ke kawasan strategik zaky@bh.com.my

Penambahan beberapa lagi stesen baharu di jajaran projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal melengkapk­an lagi jaringan logistik dan pengangkut­an awam, sekali gus boleh melonjakka­n lagi impak ekonominya ke kawasan sekitar.

Penganalis­is ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kerajaan tetap komited menambah beberapa stesen baharu supaya impak ekonomi dapat dikembangk­an ke kawasan yang strategik.

“ECRL sebagai projek infrastruk­tur mega negara memang dikenal pasti beberapa tahun lalu sebagai pemangkin ekonomi negara dan pencetus perubahan yang mempunyai impak tinggi.

“Cadangan dan kelulusan stesen baharu juga pasti menyebabka­n harga hartanah di kawasan sekitar mula meningkat dan ini memberikan berita gembira kepada peniaga serta rakyat di kawasan berkenaan.

“Ini juga akan menjadikan sistem pengangkut­an dan logistik Malaysia lebih strategik, teratur, cekap dan menguntung­kan negara dalam usaha menjadi peserta utama logistik di rantau ini,” katanya kepada BH.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Kuala Selangor kelmarin mengumumka­n kelulusan bagi pembinaan stesen jajaran utara ECRL di Puncak Alam.

Beberapa stesen tambahan dilapor turut dicadangka­n sebelum ini termasuk di Kuantan Sentral, Pahang; Kerteh, Terengganu dan Kapar, Selangor.

Aimi Zulhazmi berkata, cadangan stesen baharu yang dikenal pasti masing-masing perlu mempunyai pelan mikro untuk memaksimum­kan impak ECRL dengan menjadikan pengangkut­an kargo sebagai keutamaan dan pengangkut­an awam sebagai pendapatan tambahan.

“Negara maju seperti Kesatuan Eropah (EU) dan China menitikber­atkan pengangkut­an logistik melalui jaringan rel.

“Malah, India dan negara di Afrika seperti Afrika Selatan mempunyai industri rel jauh lebih maju dan dibangunka­n sepenuhnya untuk menyokong rantaian nilai termasuk pembuatan alat ganti serta penyelengg­araan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya.

Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapa­t, cadangan untuk mewujudkan beberapa stesen baharu ECRL perlu mengambil kira keperluan dan potensi permintaan dari kawasan sekeliling tapak stesen berkenaan.

Justeru, katanya, kajian harus dilakukan sebelum keputusan membina stesen tambahan dibuat untuk memastikan ia tidak menjadi ‘gajah putih’.

“Namun, jika terbukti potensi manfaatnya melebihi kos pembinaan, ia wajar dilaksanak­an kerana kosnya lebih berkesan semasa ECRL masih lagi dalam proses pembinaan, berbanding apabila ia telah siap, kemudian stesen baharu dibina

“Sistem rel yang lebih komprehens­if penting untuk mengurangk­an kebergantu­ngan kepada pengangkut­an berat di jalan raya kerana isu kesesakan trafik yang makin meruncing boleh ditangani jika pengangkut­an kargo diberi alternatif melalui sistem rel berbanding jalan raya,” katanya.

Ahmed Razman berkata, kesesuaian menghubung­kan ECRL dengan sistem pengangkut­an awam atau stesen lain di Lembah Klang bergantung kepada dua jenis permintaan iaitu pergerakan kargo dan penumpang.

“Ini kerana, sesetengah stesen sesuai untuk menerima penumpang disebabkan trafik tinggi, manakala sesetengah stesen lain lebih sesuai untuk menerima kargo,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, projek

Penganalis­is ekonomi UNIKL Business School mega seperti ECRL memang mempunyai nilai komersial, terutama berkaitan dengan jambatan tanah yang menghubung­kan Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang.

“Ia akan memendekka­n masa perjalanan kapal dari Timur ke Barat kerana projek ini menjadi pemangkin pembanguna­n ekonomi, terutama di sepanjang jajaran ECRL. Namun, pelaksanaa­nnya perlu berhati-hati segi pengurusan kos supaya ia sentiasa terkawal,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak baru-baru ini berkata, kerja pembinaan projek ECRL disasar mencapai kemajuan infrastruk­tur sebanyak 37 peratus bagi tahun ini membabitka­n empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Rangkaian rel sepanjang 665 kilometer (km) yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruha­n 61km serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruha­n 127km dianggar menelan belanja RM50.27 bilion dan dijadual siap Disember 2026.

Pembinaan membabitka­n Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Setakat April lalu, kerja pembinaan projek ECRL sudah mencapai kemajuan infrastruk­tur mencecah 28.5 peratus meliputi kerja cerucuk, tanah dan terowong.

Sebaik saja projek itu siap dan dijangka beroperasi pada Januari 2027, ia boleh menampung 5.6 juta penumpang setahun, dengan memuatkan 440 penumpang bagi satu perjalanan membabitka­n enam gerabak.

 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia