Berita Harian

MSM perkukuh komitmen pulihara alam sekitar

-

MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) memperkuku­hkan komitmen terhadap inisiatif hijau dalam memulihara alam sekitar dengan menanam 200 pokok bakau di Pusat Pendidikan Kecil Hutan Paya Laut yang terletak di Sungai Acheh, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Program penanaman pokok bakau dengan kerjasama strategik anak syarikat milik penuhnya, MSM Prai Bhd (MSM Prai) dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dan Persatuan Kebajikan Nelayan-nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) adalah usaha berterusan daripada acara tahun lalu yang menyaksika­n 700 anak pokok bakau ditanam di pesisir kilang MSM Prai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad, berkata MSM Prai bersedia untuk menanam 1,000 pokok bakau secara berperingk­at di kawasan khusus untuk penanaman pokok dan bakau di Pulau Pinang pada tahun ini.

Katanya, penanaman pokok bakau ialah pendekatan mesra alam berkesan dengan faedah dari segi pemulihara­an ekosistem yang luas termasuk melindungi kualiti air, menstabilk­an tebing sungai, memupuk habitat ikan dan penyumbang kepada mitigasi perubahan iklim.

“MSM kekal teguh dalam usaha untuk memastikan program kemampanan serta rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kami mencapai matlamatny­a dan hasil terbaik dalam jangka masa panjang.

“MSM benar-benar komited untuk memenuhi komitmen ESG dan melangkah lebih jauh dengan melantik juara ESG dalam kalangan warga MSM untuk memacu dan menyokong usaha ESG kumpulan.

“Ini adalah bukti bahawa setiap individu di MSM memainkan peranan aktif dalam mengimbang­i keperluan antara operasi perniagaan dan memelihara alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain menanam pokok bakau, MSM Prai turut menyumbang dana kepada Pusat Pendidikan Hutan Bakau untuk kerja pembaikan gerbang pintu masuk dan titi laluan.

MSM merancang untuk mencapai sifar bersih beberapa tahun lebih awal daripada garis masa ditetapkan iaitu 2050 melalui sasaran berasaskan sains seperti tenaga boleh diperbahar­ui seperti menggunaka­n solar dan kitar semula karbon dioksida yang dikeluarka­n semula ke dalam proses pembuatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia