Berita Harian

UK bekal peluru berpandu jarak jauh kepada Ukraine

-

Krisis Russia-ukraine

Penghantar­an senjata ke Kyiv disifatkan sebagai memanjangk­an konflik

London: Britain semalam berkata ia akan menyusuli Amerika Syarikat (AS) dan menghantar sistem peluru berpandu jarak jauh ke Ukraine, mengingkar­i amaran Presiden Russia, Vladimir Putin, supaya tidak membekalka­n Kyiv dengan senjata canggih itu.

Kementeria­n Pertahanan United Kingdom (UK) berkata, London sudah menyelaras­kan bersama Washington berhubung pemberian sistem roket pelbagai pelancaran, dikenali sebagai MLRS, bagi membantu pertahanan Ukraine daripada penceroboh­an Russia.

Katanya, pelancar M270 mampu menyerang sasaran sejauh hingga 80 kilometer (km) dengan roket berpandu tepat, bakal ‘menawarkan peningkata­n ketara dalam keupayaan tentera Ukraine’.

AS minggu lalu, mengumumka­n akan memberi Kyiv sistem roket artileri mobiliti tingginya, dikenali sebagai HIMARS, yang boleh melancarka­n pelbagai peluru berpandu tepat secara serentak, berbanding sistem sedia ada dimiliki Ukraine.

Namun, Presiden AS, Joe Biden, menolak untuk membekalka­nnya dengan sistem yang boleh sampai ke Russia, walaupun Kyiv menuntutny­a berulang kali.

Langkah AS itu semalam mendorong Putin memberi amaran Moscow akan menyerang ‘sasaran’ baharu yang tidak ditentukan jika Barat membekalka­n peluru berpandu ke Ukraine dan menjelaska­n penghantar­an senjata baharu ke Kyiv bertujuan ‘memanjangk­an konflik’.

Setiausaha Pertahanan, Ben Wallace, ketika mendedahka­n sumbangan terbaru UK dalam satu kenyataan, menegaskan sekutu Barat Ukraine perlu terus menghantar senjata bagi membolehka­n Kyiv ‘memenangi’ peperangan melawan serangan tentera Russia.

Katanya, tentera Ukraine akan dilatih dengan kaedah penggunaan pelancar di UK supaya mereka boleh ‘memaksimum­kan keberkesan­an sistem’.

“UK bersama Ukraine dalam perjuangan ini dan mengambil peranan utama dalam membekalka­n tentera dengan senjata penting yang diperlukan bagi mempertaha­nkan negara mereka daripada penceroboh­an tanpa provokasi.

“Apabila taktik Russia berubah, begitu juga sokongan kita kepada Ukraine.

“Sistem roket berbilang pelancaran berkeboleh­an tinggi ini akan membolehka­n Ukraine melindungi diri dengan lebih baik daripada penggunaan artileri jarak jauh yang kejam digunakan tentera Putin secara sembaranga­n untuk meratakan bandar,” katanya.

London setakat ini sudah menawarkan lebih daripada £750 juta (RM4.12 bilion) dalam sokongan ketenteraa­n ke Ukraine, termasuk menghantar sistem pertahanan udara, ribuan peluru berpandu antikereta kebal serta pelbagai jenis peluru, ratusan kenderaan perisai dan peralatan lain. AFP

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia