Berita Harian

Zelensky lawat barisan hadapan perang

-

Kyiv: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bertemu tentera di barisan hadapan di Donbas ketika pertempura­n hebat berlaku di timur kawasan perindustr­ian yang mahu dirampas Moscow.

Zelensky melawat pos komando dan kedudukan barisan hadapan di Lysychansk, yang terletak di seberang sungai Siverskyi Donets dari Severodone­tsk, lokasi tentera Ukraine berundur ketika kemaraan tentera Russia bagi merebut bandar strategik itu.

Beliau juga melawat Bakhmut, di barat daya di wilayah Donetsk di Donbas dan bercakap dengan anggota tentera Ukraine.

“Saya ingin mengucapka­n terima kasih atas kerja hebat dan perkhidmat­an anda melindungi kita semua, negeri kita. Saya berterima kasih kepada semua. Jaga diri anda!” katanya.

Dalam lawatan kerjanya, Zelensky ‘membiasaka­n dirinya dengan keadaan operasi di barisan hadapan pertahanan.’

“Saya bangga dengan semua orang yang saya temui dan berjabat tangan, dengan siapa saya berkomunik­asi, yang saya sokong,” katanya dalam ucapan harian selepas lawatannya.

Presiden berkata, beliau juga pergi ke Zaporizhzh­ia di tenggara untuk bertemu penduduk Mariupol yang berjaya meninggalk­an bandar pelabuhan yang musnah akibat pengeboman Russia selama beberapa bulan.

“Setiap keluarga ada kisah tersendiri, kebanyakan­nya tanpa lelaki. Ada yang pergi berperang, dipenjarak­an, mahu pun meninggal dunia. Ia satu tragedi.

“Tiada rumah, tiada orang tersayang, namun perlu teruskan kehidupan demi anak. Wira sejati ada dalam kalangan kita,” katanya.

Perjalanan Zelensky ke medan perang memberinya pandangan yang penting mengenai operasi ketenteraa­n dan penguat semangat bagi tentera barisan hadapan, kata bekas Jeneral Tentera Australia, Mick Ryan.

Ia juga menunjukka­n beliau mempunyai kepercayaa­n penuh terhadap tenteranya dan menyerlahk­an perbezaan gaya kepemimpin­an berbanding lawannya, Presiden Russia, Vladimir Putin.

Pada Mei lalu, Zelensky melawat barisan hadapan, manakala setakat ini, tiada tanda Putin berada di lokasi berdekatan medan perang sejak melancarka­n penceroboh­annya. AFP

 ?? (Foto AFP) ??
(Foto AFP)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia