Berita Harian

Pegang jawatan UMNO bahagian belum tentu jadi calon PRU-15

- Oleh Mohd Iskandar Ibrahim mohd_iskandar@bh.com.my

Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengingatk­an pemegang jawatan di peringkat bahagian bahawa mereka belum tentu akan dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, asas kepada perkara itu adalah keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November 2021 dan PRN Johor pada Mac lalu yang menyaksika­n penampilan ramai calon muda dan muka baharu menghasilk­an kejayaan buat parti serta Barisan Nasional (BN).

Pada PRN Melaka, BN menamakan 87 peratus calon muka baharu dan golongan muda bertanding 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala di Johor, lebih 70 peratus muka baharu dinamakan bagi 56 kerusi DUN dengan lebih 80 peratus mempunyai kelulusan akademik tinggi dan berusia 55 tahun ke bawah.

“Penampilan muka baharu mewakili parti pada dua PRN sebelum ini berhasil mencipta kemenangan membanggak­an. Saya tidak akan meraikan hanya pemegang jawatan di peringkat bahagian (UMNO) sebagai calon,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika berucap merasmikan Wacana Aspirasi UMNO (WAU) 2.0 bertajuk ‘Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda’, di sini semalam.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sokongan golongan muda dilihat kembali kepada BN berdasarka­n PRN Johor dan Melaka, sekali gus beliau melihat ia sebagai tanda dan tempoh yang sesuai untuk PRU-15 disegeraka­n.

“Pada PRN lalu, undi anak muda ‘lari’ memilih calon BN. PRN Melaka kita ketengahka­n 87 peratus calon baharu, di Johor pula 70 peratus. Oleh kerana anak muda sudah kembali kepada kita, carilah masa sesuai (adakan PRU-15),” katanya.

PRU-15 mesti diadakan selewat-lewatnya pada pertengaha­n September 2023, iaitu dalam tempoh 60 hari selepas penggal Parlimen kini terbubar secara automatik pada 16 Julai tahun depan.

Pada sidang media kemudian, Ahmad Zahid berharap Rang Undang-undang (RUU) Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dapat dibentang, dibahas dan diluluskan sebelum PRU-15 supaya tiada lagi mana-mana parti menjadi mangsa seperti berlaku selepas PRU-14.

“Ini bukan soal kos, tetapi soal masa. Saya fikir yang penting adalah niat. Kalau niatnya mahu bawa undang-undang ini ke Parlimen, bila pun waktu ditentukan, ia harus dapat kelulusan Dewan Rakyat sebelum PRU-15.

“Ini cukup penting sebab kita tidak mahu apa yang berlaku selepas PRU-14, berlaku lagi selepas PRU-15,” katanya.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan berpendapa­t tiada keperluan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaska­n RUU terbabit sebelum persidanga­n bermula pertengaha­n bulan depan.

Sebaliknya, RUU itu akan dibentangk­an semasa mesyuarat kedua Dewan Rakyat yang dijadualka­n bermula 18 Julai sebelum disembah maklum kepada Yang di-pertuan Agong untuk pewarkahan dan pewartaann­ya.

Perkara itu diputuskan selepas mengambil kira beberapa faktor semasa sesi perbincang­an dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis, antaranya penjimatan kewangan kerajaan yang dijangka boleh digunakan untuk perkara lain seperti membantu kelangsung­an rakyat.

Secara keseluruha­n, kos melaksanak­an Mesyuarat Khas Parlimen bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang perlu ditanggung kerajaan adalah kira-kira RM1,077,600, tidak termasuk kos operasi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, semua parti, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkan­g wajib menyokong RUU terbabit sebaik ia dibentangk­an di Parlimen kerana tindakan Ahli Parlimen melompat parti sejurus PRU-14 lalu menyebabka­n banyak parti menjadi mangsa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia