JPP 2022 dapatkan khidmat pakar digital
Penangguhan kongres PKR laksana audit forensik tindakan wajar, tepat
Kuala Lumpur: Jawatankuasa Pemilihan Parti 2022 (JPP 2022) PKR mendapatkan khidmat pakar digital untuk melaksanakan audit menyeluruh sistem pengundian baru-baru ini yang mungkin menyaksikan keputusan tidak rasmi pemilihan barisan kepemimpinan baharu, berubah.
Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya memerlukan sedikit masa bagi memuktamadkan keputusan pemilihan parti sebelum dibentangkan pada Kongres Nasional 2022 di Shah Alam pada 16 hingga 17 Julai depan.
Katanya, keputusan tidak rasmi bagi peringkat cabang dan pimpinan utama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diumumkan pada 29 Mei lalu masih dalam proses penelitian dan Panel Aduan Pemilihan Keadilan 2022 akan terus meneliti aduan dikemukakan anggota parti melalui saluran rasmi JPP 2022.
“Panel Aduan JPP 2022 juga mencadangkan beberapa cadangan tindakan yang mungkin boleh mengubah keputusan tidak rasmi itu. Justeru, JPP 2022 bersetuju mendapatkan khidmat pakar digital untuk melaksanakan audit secara menyeluruh terhadap sistem yang dibangunkan.
“Mereka (pakar) kini sedang bertungkus lumus untuk memenuhi garis masa yang sudah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Kelmarin, PKR memaklumkan Kongres Nasional 2022 yang asalnya dijadualkan pada 24 dan 25 Jun ditangguhkan kepada 15 hingga 17 Julai depan bagi memberi ruang audit forensik terhadap bantahan dan aduan yang diterima berkaitan pemilihan parti.
Dr Zaliha berkata, senarai pemenang pada peringkat cabang dan sayap pada peringkat berkenaan serta peringkat Pusat yang sudah dimuktamadkan, perlu diserahkan kepada pejabat setiausaha agung parti bagi tujuan memuktamadkan perwakilan yang akan hadir ke kongres nasional.
“JPP 2022 berpuas hati dengan kemajuan kerja Juruaudit Pakar Digital yang dilantik dan yakin dapatan yang akan dikemukakan kelak akan dapat memberi penjelasan kepada persoalan serta kecelaruan pemahaman yang timbul dan ditimbulkan pengadu.
“Fasa pemilihan parti kini padai peringkat kedua apabila selesai dengan senarai muktamad bagi calon Ahli MPP, Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Pusat yang akan dipilih ketika Kongres Nasional Keadilan 2022 kelak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang tewas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam perebutan jawatan ketua cabang Gombak, menyifatkan penangguhan kongres parti bagi membolehkan audit forensik dilakukan sebagai wajar dan tepat.
“Itu sememangnya usaha yang sepatutnya dilaksanakan demi keadilan kepada semua calon yang bertanding. Dengan siasatan menyeluruh, semua pemasalahan dapat dirungkai dan tindakan tegas diambil kepada mereka yang terbabit dengan penipuan dan manipulasi undi.
“Ini sesuatu yang wajar, baik dan tepat pada masanya, kita harap keadilan dapat ditegakkan
diberikan masa lebih sedikit menyiasat aduan dibangkitkan. Kita mahukan laporan penuh siasatan ini, sama ada wujud penipuan atau manipulasi. Kita perlu berani menyatakan perkara ini,” katanya kepada BH.
Farhash sebelum ini mendakwa lebih 25,000 undi hilang dalam Pemilihan PKR 2022, yang mana seramai 147,000 ahli PKR mengundi calon timbalan presiden, namun undi keseluruhan diperoleh kedua-dua calon, Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hanya 119,030.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin juga menyifatkan keputusan menangguhkan kongres itu sebagai tepat untuk memberi peluang kepada pelbagai aduan dibuat kepada JPP diteliti kesemuanya.
Beliau yang tewas pemilihan jawatan naib presiden dan ketua cabang Hang Tuah Jaya di Melaka, berkata langkah itu sudah tentu ada kaitan dengan kewibawaan dan integriti pemilihan jawatan penting di dalam parti, sekali gus ruang secukupnya mesti diberikan kepada JPP agar tidak timbul masalah berbangkit.
Calon tewas merebut jawatan naib presiden, G Manivannan pula berkata, pelanjutan masa untuk kongres nasional jelas menunjukkan ketelusan JPP menyelesaikan isu berbangkit membabitkan pemilihan parti kali ini.
“JPP juga memohon kepakaran pakar digital yang menunjukkan mereka serius membuat siasatan atas aduan dikemukakan. Ini bermakna JPP mengambil berat semua aduan dan tidak pandang remeh laporan dibuat,” katanya
Calon tewas perebutan jawatan ketua cabang Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki turut mengalu-alukan usaha parti menangguhkan kongres nasional untuk memberi masa kepada JPP melakukan siasatan lebih terperinci termasuk audit forensik.
“Jelas sekali parti ambil kira pandangan akar umbi dan berusaha membetulkan kesilapan. JPP kena buktikan kewibawaan dalam mengendalikan pemilihan ini dan kita faham mereka perlukan masa, namun kita harap mereka dapat buktikan ketelusan, kejujuran dan profesionalisme,” katanya
JPP 2022 berpuas hati dengan kemajuan kerja Juruaudit Pakar Digital dilantik dan yakin dapatan dikemukakan kelak akan dapat memberi penjelasan kepada persoalan serta kecelaruan pemahaman yang timbul dan ditimbulkan pengadu Dr Zaliha Mustafa,
Pengerusi JPP 2022