Berita Harian

Nekad redah asap tebal

- Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Pasar Datuk Keramat terbakar

Pemilik kedai syukur barang kemas bernilai jutaan ringgit berjaya diselamat nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemilik kedai emas di Pasar Datuk Keramat (pasar lama), di Jalan Keramat Dalam, di sini, sanggup meredah asap tebal bagi menyelamat­kan barang kemas di premis berkenaan dalam kebakaran awal pagi semalam.

Nik Arif Nik Azmi, 34, berkata, dia menerima panggilan daripada orang awam jam 1.15 pagi yang memaklumka­n kedainya terbakar.

“Saya terus bergegas ke kedai dan sebaik tiba, saya nampak api sedang marak. Saya bersama beberapa ahli keluarga terus bergegas masuk ke dalam premis untuk mengambil barang kemas.

“Kami yang turut ditemani anggota polis terpaksa meredah asap tebal bagi mengambil barang kemas berkenaan.

“Saya bersyukur kerana semua dulang barang kemas dianggarka­n bernilai jutaan ringgit berjaya diselamatk­an,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Nik Arif berkata, kejadian itu menyebabka­n tiga lot kedainya, termasuk tempat membaiki barang kemas rosak.

“Kebakaran itu bermula dari kedai pakaian terpakai yang terletak di hadapan kedai kami sebelum merebak ke lima lot kedai serta sebuah rumah berhampira­n.

“Tindakan pantas pihak bomba berjaya mengawal api daripada merebak yang boleh mengakibat­kan kemusnahan lebih besar terhadap kedai kami. Dianggarka­n kerosakan berjumlah RM100,000 untuk ketiga-tiga lot kedai ini.

“Sebelum ini, pernah berlaku kebakaran di pasar ini, namun ia membabitka­n kawasan hadapan pasar dan bukan kawasan ini,” katanya yang memaklumka­n kedai itu dibuka sejak 1978.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Shahril, 39, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, dia sedang tidur di dalam bilik sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.

“Saya terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi dentuman kuat seperti orang bermain bunga api. Tiba-tiba, saya dengar ibu saya, Sharifah, 72, yang berada di ruang tamu turut menjerit.

“Apabila keluar dari bilik, saya nampak api dari kedai pakaian terpakai berkenaan yang terletak kira-kira 10 meter dari bahagian belakang rumah kami,” katanya.

Ketua Komander Operasi, Mohd Fahmi Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.30 pagi sebelum 47 anggota dari Balai Bomba Polis (BBP) Keramat, BBP Hang Tuah, BBP Wangsa Maju, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Setapak bersama lima jentera ‘Fire Rescue Tender (FRT)’ dikejarkan ke lokasi.

 ?? (Foto Nurul Hidayah Bahaudin/bh) ?? Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan) meninjau tapak kedai di Pasar Datuk Keramat yang terbakar, semalam.
(Foto Nurul Hidayah Bahaudin/bh) Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan) meninjau tapak kedai di Pasar Datuk Keramat yang terbakar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia