Berita Harian

Hashim berbasikal beri makan kucing terbiar

- Oleh Nazri Abu Bakar

Rutin lebih 30 tahun, guna wang sendiri beli makanan haiwan bhnews@bh.com.my

Melaka: Rasa sayang kepada haiwan mendorong Hashim Ibrahim, 76, berbasikal saban hari sekitar Cheng, dekat sini untuk memberi makan kucing terbiar serta kawanan burung.

Bakul besar dibawanya bukan saja diisi makanan kucing, tetapi juga makanan untuk burung jika terserempa­k haiwan berkenaan ketika dia di dalam ‘misi’ yang jarang dilakukan orang lain itu.

Ketika ditemui, Hashim yang bujang dan menyara hidup dengan wang bantuan disalurkan kerajaan sebanyak RM500 sebulan, berkata ramai salah sangka dia menjual barang atau buahbuahan dibawa dalam bakul berkenaan.

“Inilah rutin saya sejak lebih 30 tahun lalu walaupun tak ada kerja apa-apa. Saya suka kucing, kasihan lihat kucing terbiar di kaki lima bangunan atau tepi jalan, jadi saya beri makan.

“Wang bantuan kerajaan RM500 sebulan, sebahagian saya gunakan untuk membeli makanan kucing, merpati, tekukur dan merbok. Wang itu cukup untuk saya tampung perbelanja­an sendiri dan makanan haiwan, tambahan ada juga insan-insan yang bersedekah,” katanya.

Beliau yang bersyukur dapat membantu kucing terbiar, biasanya keluar rumah pada waktu pagi dan petang dengan basikalnya, terhad di sekitar Cheng dengan jarak perjalanan antara lima atau enam kilometer sehari.

“Jika dulu saya boleh berkayuh sehingga Bandar Hilir dan Batang Tiga, kini tak lagi, tambahan sekarang kenderaan banyak di jalan raya. Syukur Allah masih memberi kesihatan baik dan setakat ini tak ada sebarang penyakit.

“Saya sentiasa berdoa terus diberi kekuatan untuk berkhidmat kepada haiwan terbiar,” katanya yang sebelum ini melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mengambil upah menoreh getah dan bertukang.

Meskipun tidak memiliki pekerjaan dan hanya berbasikal, Hashim tetap menyediaka­n makanan kucing di sekitar Cheng, sejak lebih 30 tahun lalu.

 ?? (Foto Nazri Abu Bakar/bh) ??
(Foto Nazri Abu Bakar/bh)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia