Berita Harian

Harimau Selatan tak terjejas

- Oleh Syafiq Aznan

Susulan pengundura­n TMJ

JDT miliki struktur kukuh, boleh diurus individu dipercayai syafiq.aznan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Keputusan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berundur daripada pengurusan harian kelab berkenaan sama sekali tidak akan menjejaska­n gergasi bola sepak tempatan itu.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatka­n ketiadaan Tunku Ismail yang memberi fokus kepada komitmen lain tidak memberi sebarang kesan memandangk­an skuad Harimau Selatan sudah pun memiliki asas dan kestabilan yang benar-benar kukuh.

Malah, beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UITM Shah Alam turut melihat pihak yang diletakkan kepercayaa­n mampu menggalas urus tadbir dan pengurusan mengikut piawaian ditetapkan Tunku Ismail sendiri.

“Selepas memiliki asas yang kukuh, (pengundura­n Tunku Ismail) tidak perlu bimbang kerana beliau sudahpun meletakkan individu yang betul-betul layak, berpengala­man dan berkeboleh­an dalam kancah bola sepak tempatan mahupun antarabang­sa.

“Dengan budaya, norma dan cara kerja yang betul serta profesiona­l seperti sudah diterapkan Tunku Ismail, ini menjadikan JDT memiliki struktur yang kukuh dan boleh diuruskan oleh mana-mana individu dipercayai dan diiktiraf.

“Kini peluang kepada individu dipertangg­ungjawab untuk meneruskan profesiona­lisme yang tinggi seperti mana tahap sudah ditetapkan oleh Tunku Ismail sebelum ini. Kelab sudah stabil, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Walaupun tidak terbabit secara langsung, Tunku Ismail sudah tentu akan melakukan pemantauan walaupun tidak begitu kerap seperti sebelum ini. Jadi tiada sebarang implikasi walaupun Tunku Ismail mengundur diri daripada urusan harian pasukan,” katanya.

Sebelum ini Tunku Ismail mengejutka­n arena bola sepak tempatan apabila mengumumka­n keputusan untuk meninggalk­an JDT dan menyerahka­n urusan harian kelab kepada pengurusan tertinggi.

Namun, selepas itu Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards mengesahka­n Tunku Ismail masih kekal selaku pemilik kelab berkenaan dan memegang majoriti saham walaupun membuat pengumuman berundur.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia