Berita Harian

‘Kerja lebih keras’

- Oleh Helmi Talkah

Masters Indonesia

Masih banyak perlu dilakukan Zii Jia selepas tersingkir helmi.talkah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan jaguh perseorang­an lelaki negara, Lee Zii Jia bagi menjadikan dia pemain yang ‘sukar ditewaskan’ selepas tersingkir pada peringkat suku akhir Masters Indonesia.

Rekod tanpa kalah Zii Jia dalam 15 perlawanan berturut-turut sejak muncul juara Asia bulan lalu lebur di tangan wakil tuan rumah, Anthony Sinisuka Ginting apabila dia tewas dalam pertarunga­n tiga set 21-18, 16-21, 15-21 di Stadium Istora Senayan, kelmarin.

Jurulatih pemain nombor lima dunia itu, Indra Wijaya mengakui Ginting berhak memenangi perlawanan berkenaan apabila tampil dengan corak permainan yang lebih pantas berbanding Zii Jia.

Malah, Indra turut menegaskan kekalahan anak buahnya itu bukanlah disebabkan faktor penyokong tuan rumah yang memberikan sokongan padu kepada Ginting di Istora Senayan.

“Saya rasa sokongan ini selalu terjadi di Jakarta. Ia bukanlah faktor utama yang menyebabka­n kekalahan Zii Jia. Ginting menampilka­n prestasi yang lebih baik dan berhak untuk menang.

“Untuk Zii Jia, dia perlu terus bekerja keras dan melakukan persiapan yang lebih untuk menghadapi pertemuan yang akan datang (sekiranya menentang Ginting lagi),” katanya kepada BH Sukan.

Zii Jia sebelum ini diletakkan antara pilihan untuk menjuarai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 itu apabila hadir di Jakarta dengan reputasi tinggi selepas berjaya muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand, bulan lalu.

Sementara itu, Zii Jia mengakui Ginting memiliki kelebihan selepas berjaya mengawal permainan di jaring.

“Dia berjaya mengawal permainan di jaring dan melakukan serangan. Dari segi corak permainan, saya dan Ginting sebenarnya lebih kurang sama kerana kami adalah pemain yang menyerang.

“Dalam perlawanan itu siapa yang menang di jaring akan mendapat kelebihan. Saya juga banyak melakukan kesilapan mudah dan ini sesuatu yang perlu saya perbaiki,” katanya.

Zii Jia berpeluang untuk menebus kekecewaan­nya itu apabila beraksi dalam saingan Terbuka Indonesia yang akan bermula Selasa ini.

Dia akan membuka tirai kempen menentang pemain Thailand, Sitthikom Thammasin pada pusingan pertama kejohanan yang turut berlangsun­g di Istora Senayan.

Kuala Lumpur: Cabaran Malaysia dalam saingan badminton Masters Indonesia di Jakarta berakhir selepas wakil terakhir negara, Pearly Tan-m Thinaah tewas pada aksi separuh akhir beregu wanita, petang semalam.

Pearly-thinaah terpaksa akur apabila tunduk di tangan pasangan tuan rumah, Apriyani Rahayu - Siti Fadia Silva Ramadhanti 23-21, 14-21, 14-21 dalam aksi di Stadium Istora Senayan.

Sebagai rekod, bekas beregu wanita nombor satu negara, Vivian Hoo-woon Khe Wei muncul satu-satunya pasangan negara yang berjaya menjuarai kejohanan berkenan ketika melakukann­ya pada edisi 2011 yang ketika itu bertaraf Grand Prix Emas.

Biarpun gagal ke final, pencapaian Pearly-thinaah yang menduduki ranking ke-10 dunia kali ini tetap sesuatu yang positif apabila ini adalah kali kedua berturut-turut mereka berjaya menempatka­n diri dalam kelompok empat terbaik selepas Terbuka Thailand, bulan lalu.

Juara Terbuka Switzerlan­d 2021 bagaimanap­un berpeluang untuk menebus kekecewaan kekalahan semalam apabila mereka beraksi di Terbuka Indonesia yang bermula, Selasa ini.

Aksi final beregu wanita esok bakal menyaksika­n pertembung­an antara Apriyani-siti Fadia menentang pasangan China yang juga pilihan pertama, Chen Qing Chen-jia Yi Fan bagi gelaran juara Masters Indonesia.

Pemilihan KOM

Zii Jia tewas kepada Ginting peringkat suku akhir Masters Indonesia di Jakarta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia