Berita Harian

Tiada cukai baharu tahun ini

- Oleh Shahrizan Salian dan Mohd Zaky Zainuddin bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan berpendapa­t sebarang sistem percukaian baharu, termasuk syor pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST), tidak mungkin dapat dilaksanak­an pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pengenalan cukai baharu perlu melalui proses tertentu, termasuk libat urus bersama rakyat serta dibentang ke Parlimen terlebih dahulu.

“Jadi, bila diambil kira keperluan libat urus bersama rakyat, keperluan untuk menambah baik sistem sedia ada dan tempoh secukupnya bagi sektor perniagaan membuat persediaan, tidak mungkin GST akan dilaksanak­an pada tahun ini,” katanya kepada BH.

Tengku Zafrul menegaskan, sebelum memperkena­lkan apaapa cukai baharu, kerajaan perlu memastikan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 berada di landasan yang stabil dan kukuh.

Katanya, ia juga selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa cadangan pelaksanaa­n GST masih lagi di peringkat kajian.

“Kementeria­n Kewangan (MOF) juga sedar bahawa ada pelbagai cabaran semasa seperti kenaikan harga barang, ekoran gangguan rantaian bekalan global yang diburukkan lagi oleh ketegangan geopolitk Ukraine-russia.

“Tiada siapa yang boleh meramalkan hal ini semasa Bajet 2022 digubal,” katanya.

Bila diambil kira keperluan libat urus bersama rakyat, keperluan untuk menambah baik sistem sedia ada dan tempoh secukupnya bagi sektor perniagaan membuat persediaan, tidak mungkin GST akan dilaksanak­an pada tahun ini. Sebelum memperkena­lkan apa-apa cukai baharu, kerajaan perlu memastikan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 berada di landasan yang stabil dan kukuh

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan

Tengku Zafrul seterusnya menjelaska­n, dalam mana-mana sistem, pembayar cukai mahukan kepastian bahawa cukai dibayar akan dibelanjak­an dengan berhemah dan ketirisan hasil dielakkan.

Disebabkan itu, katanya kerajaan sedang merangka Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) yang antara lain akan mengelakka­n ketirisan hasil dan menekankan perbelanja­an berhemah.

“Sehubungan itu, sejak COVID-19 melanda, MOF konsisten membentang­kan kad laporan mingguan, melalui Laporan LAKSANA (kini dipanggil Laporan Kewangan Rakyat) mengenai jumlah peruntukan kerajaan yang dibelanjak­an dan berapa orang/perniagaan yang mendapat manfaatnya. Dalam sedikit masa lagi, kita akan membentang­kan kad laporan yang ke-100.

“Pada masa yang sama, sekiranya kerajaan berhasrat memperkena­lkan semula GST, penambahba­ikan akan dibuat dari aspek kecekapan proses bayaran balik, mengelakka­n kekeliruan dalam pengkelasa­n barang yang bercukai dengan tidak bercukai, peningkata­n tahap kemahiran pegawai kerajaan, tahap pematuhan peniaga dan tadbir urus keseluruha­n GST,” katanya.

Berdasarka­n data, beliau juga yakin bahawa ramai yang setuju mengapa negara ini perlu mempertimb­angkan asas cukai lebih luas.

Tengku Zafrul berkata, pada 2021, jumlah kutipan hasil negara mencatat hanya 15.1 peratus daripada KDNK dan ini adalah agak rendah berbanding kutipan hasil negara lain seperti Singapura (18.9 peratus), Thailand (17.7 peratus) dan Filipina (15.5 peratus).

Katanya, bagi hasil cukai negara, ia telah mencatat 11.2 peratus daripada KDNK.

“Jadi, sememangny­a terdapat keperluan untuk kerajaan meneliti usaha meluaskan asas hasil supaya dapat mengagihka­nnya dengan lebih bermakna melalui program yang bermanfaat untuk seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil berkaitan komoditi pada tahun ini juga telah meningkat, namun ia tidak mampan kerana bergantung kepada pergerakan harga pasaran dan tidak mampu menampung sepenuhnya peningkata­n perbelanja­an yang diperlukan untuk kesejahter­aan rakyat.

“Sebab itulah kerajaan perlu meneroka sumber hasil yang stabil dan lebih meluas. Malah, 175 negara atau sekitar 90 peratus negara di seluruh dunia telah memperkena­lkan cukai kepengguna­an yang lebih cekap dan telus serta mampu mencegah ketirisan kutipan hasil,” katanya.

Perdana Menteri dalam wawancara khas bersama kumpulan media Nikkei Asia di Tokyo, Jepun, baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, GST dilihat mampu mengembang­kan pendapatan asas negara.

Malah, Ismail Sabri membayangk­an bahawa kerajaan tidak menolak kemungkina­n untuk mengembali­kan sistem percukaian itu sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara, bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

GST kali pertama dilaksanak­an di Malaysia pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus, sebelum digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhka­n dengan digantikan Cukai Jualan dan Perkhidmat­an (SST) bermula 1 September 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Penganalis­is ekonomi sebelum ini berpendapa­t, sekiranya kerajaan ingin mengembali­kan GST, ia memerlukan masa sesuai supaya kelemahan pelaksanaa­nnya sebelum ini ditangani, selain tidak menjejaska­n kumpulan rentan serta pemulihan ekonomi.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelaksanaa­n semula GST perlu dilaksanak­an dalam keadaan yang berhati-hati memandangk­an pemulihan ekonomi negara masih di peringkat awal.

Bagi penganalis­is ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, sekarang bukan masa yang sesuai untuk melaksanak­an GST.

Ini kerana menurut beliau, walaupun ia cara paling mudah bagi kerajaan menambahka­n hasil, cukai kepengguna­an itu akan menyebabka­n rakyat tertekan kerana terpaksa membayar cukai tambahan ke atas barang dan perkhidmat­an, dengan harga barang telah sedia tinggi.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia