Berita Harian

Penduduk rayu campur tangan PM

Pemilik kediaman Kampung Sungai Baru resah kemelut pemaju ambil tanah tak selesai

- Oleh Muhammad Yusri Muzamir yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dirayu turun padang bertemu penduduk Kampung Sungai Baru di Kampung Baru, di sini yang runsing masih berdepan kemelut isu pengambila­n tanah menempatka­n kediaman mereka oleh syarikat pemaju.

Menurut penduduk, campur tangan Perdana Menteri amat perlu bagi membela nasib mereka yang tidak dapat berunding secara terus dengan pemaju, selain mendakwa gagal mendapat tawaran pampasan yang munasabah.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad pada sidang media bersama Jawatankua­sa Bertindak Penduduk Sungai Baru semalam, berkata warta mengikut Seksyen 8 Akta Pengambila­n Tanah 1960 (Akta 486) perlu ditarik balik supaya penduduk boleh berunding dengan pemaju untuk mencapai kata sepakat.

“Katanya ada rundingan khas di antara penduduk dan pemaju menerusi sesi libat urus baru-baru ini, namun penduduk mendakwa wakil pemaju tidak hadir, sebaliknya sesi dikendalik­an Perbadanan Pembanguna­n Kampong Bharu (PKB) dan apabila diajukan soalan, pengerusi didakwa tidak menjawab.

“Jadi, kehadiran ke sesi libat urus itu sia-sia, malah tindakan PKB didakwa tidak tepat. Sepatutnya mereka mewakili penduduk, namun dilihat seperti jadi wakil pemaju dan ini yang jadi persoalan,” katanya pada sidang media di Pusat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Baru, semalam.

Khalid berkata, penggunaan Seksyen 8 Akta 486 juga menimbulka­n persoalan kerana tanah yang diambil berstatus pemilikan peribadi, mempunyai geran dan sudah menjadi milik penduduk terbabit sejak berpuluh tahun.

“Jadi, Perdana Menteri perlu masuk campur, turun jumpa penduduk. Saya juga sudah membentuk jawatankua­sa dianggotai beberapa peguam yang boleh kaji mengikut sudut undang-undang, lihat bagaimana boleh cabar keputusan untuk membantu pemilik supaya diberi hak mereka,” katanya.

Sementara itu, wakil Jawatankua­sa Bertindak Penduduk Sungai Baru, Azlan Mustafa berkata, penduduk terbabit dengan pengambila­n tanah sudah menerima arahan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta 486 supaya mengosongk­an kediaman pada 31 Julai depan.

Katanya, rayuan penduduk untuk melanjutka­n tempoh pengosonga­n itu sudah dikemukaka­n kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), namun dimaklumka­n ia perlu dibuat melalui PKB selaku pemegang hak hartanah berkenaan.

Bagaimanap­un, beliau mendakwa, PKB hanya memberi penjelasan tidak dimaklumka­n mengenai perkara berkenaan.

“Jadi kami mintalah sangat Perdana Menteri turun dan bantulah kami segera. Kami berada dalam keadaan getir dan tertekan selagi tiada pihak datang membantu,” katanya.

Pada 11 April lalu, Menteri Wilayah Persekutua­n, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim mahu rundingan diteruskan bagi mencari penyelesai­an terhadap arahan pengosonga­n rumah penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru yang sebelum ini diarahkan berpindah pada Ramadan lalu.

JKPTG dalam maklum balas kemudian menjelaska­n, PKB selaku pemegang hak kepada flat yang terbabit dalam pengambila­n tanah bagi pembanguna­n semula Kampung Sungai Baru, tiada halangan membenarka­n pemilik kediaman itu terus mendiami rumah berkenaan sehingga 31 Julai depan.

Rancangan pembanguna­n di Kampung Sungai Baru dilapor membabitka­n penduduk di dua jenis kediaman, iaitu Flat PKNS dan rumah di tanah persendiri­an, dengan 264 daripada 328 unit adalah flat dan selebihnya rumah teres dianggar berkeluasa­n 6.8 hektar.

Difahamkan, 30 peratus penduduk tidak bersetuju dengan pampasan ditawarkan, iaitu RM240,000 hingga RM260,000 bagi unit flat dan kira-kira RM400 sekaki persegi bagi kategori rumah teres.

Azlan yang juga Ahli Jawatankua­sa (AJK) Penduduk Kampung Sungai Baru mengakui pihaknya faham kesukaran untuk mencapai kesepakata­n antara dua pihak, namun peluang mengadakan rundingan dengan pemaju sekurang-kurangnya akan memberi kelegaan kepada penduduk.

“Hampir setahun kami dikenakan warta, tertekan mental dan fizikal kerana banyak usaha sudah dilakukan sebelum ini. Namun, sesi libat urus pada 6 Jun lalu tidak dihadiri wakil pemaju, sebaliknya diterajui PKB, jadi bagaimana mahu capai matlamat?

“Penubuhan PKB sepatutnya untuk memantau pembanguna­n di kawasan ini, namun jika ini yang berlaku, bukan pembanguna­n yang dibawa, tetapi hak kami sebagai penduduk di sini digadai,” katanya.

 ?? (Foto Fariz Iswadi Ismail/bh) ?? Khalid (dua dari kiri) bersama sebahagian penduduk pada sidang media di Pusat Kawasan Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru, semalam.
(Foto Fariz Iswadi Ismail/bh) Khalid (dua dari kiri) bersama sebahagian penduduk pada sidang media di Pusat Kawasan Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia