Berita Harian

‘Kerajaan masih miliki kemampuan bantu rakyat’

- Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Program subsidi tiada makna jika bagi setiap RM1 subsidi bahan api kerajaan, 53 sen dimanfaatk­an oleh mereka yang mampu kerana mereka mempunyai lebih banyak kereta

Kebelakang­an ini kerajaan berdepan pelbagai cabaran berikutan ketidakten­tuan yang menyelubun­gi ekonomi dunia seperti ketidakten­tuan harga komoditi, bekalan makanan dan mata wang sehingga turut membebani dan menjejaska­n kehidupan rakyat. Ikuti temu bual wartawan BH, Shahrizan Salian dan Mohd Zaky Zainuddin dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi mendapatka­n penjelasan mengenai kedudukan kewangan kerajaan, kemungkina­n pelaksanaa­n subsidi bersasar, kos sara hidup rakyat dan prestasi semasa ringgit.

Soalan (S): Apakah paras hutang kerajaan pada masa ini? Adakah komitmen kerajaan berterusan untuk memastikan sasaran defisit berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang ditetapkan sebelum ini akan dapat dicapai?

Jawapan (J): Sebelum saya berkongsi data, saya ingin menegaskan bahawa insya-allah, kerajaan masih mampu untuk membantu rakyat, terutama golongan berpendapa­tan rendah. Sehingga April 2022, hutang statutori kerajaan Persekutua­n yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaha­raan Islam Malaysia (MITB), mencatat 58.5 peratus daripada KDNK, di bawah had statutori 65 peratus KDNK yang ditetapkan.

Kedua, saya ingin menegaskan bahawa bagi tempoh jangka sederhana, kerajaan kekal komited untuk mencapai defisit antara tiga hingga 3.5 peratus daripada KDNK pada akhir tahun 2025 selari dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketiga, walau dalam apapun keadaan, kita perlu merancang untuk lebih berdisipli­n dari segi fiskal. Pandemik COVID-19 telah mengajar kita betapa pentingnya untuk menyediaka­n payung sebelum hujan.

Berbalik kepada sasaran fiskal, apabila kerajaan membentang­kan Bajet 2022 pada Oktober yang lalu dengan sasaran defisit fiskal sebanyak enam peratus daripada KDNK, Kementeria­n Kewangan (MOF) mengambil kira andaian harga minyak pada AS$66 setong serta prospek ekonomi global yang bertambah baik melalui pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial domestik ekoran kejayaan program vaksinasi nasional.

Malah, sehingga suku pertama 2022, kedudukan fiskal terus bertambah baik berikutan pengukuhan ekonomi domestik yang menyumbang kepada peningkata­n hasil sebanyak 26.7 peratus (suku pertama 2021: 9.3 peratus) serta disokong oleh harga komoditi yang tinggi. Namun begitu, perbelanja­an mengurus juga bertambah terutamany­a disebabkan oleh mekanisme pemberian subsidi semasa bagi membendung inflasi.

Buat masa ini, momentum berterusan untuk kutipan hasil cukai yang lebih tinggi serta hasil daripada ekosistem kerajaan dijangka dapat mengurangk­an risiko ke atas sasaran fiskal, seterusnya membolehka­n sasaran defisit dikekalkan pada tahap enam peratus daripada KDNK pada tahun ini seperti yang dinyatakan di dalam Kenyataan Pra-bajet 2023.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan meneruskan langkah konsolidas­i fiskal secara berperingk­at bagi memastikan kedudukan kewangan kekal stabil dan paras hutang kerajaan dikurangka­n secara beransur-ansur. Seperti saya sebutkan sebelum ini, antara langkah kerajaan untuk memperkuku­h kewangan awam adalah dengan penggubala­n Akta Tanggungja­wab Fiskal (FRA), pelaksanaa­n Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Semula Perbelanja­an Awam (PER) dalam memastikan tadbir urus fiskal dan kemampanan jangka sederhana dan panjang.

S: Berkenaan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat sejajar kenaikan harga barang, adakah kerajaan mempunyai strategi ampuh untuk membantu golongan rentan, termasuk kemungkina­n memperkena­l- kan bantuan khas sara hidup?

J: Satu daripada sebab utama peningkata­n kadar inflasi adalah berikutan ketegangan geopolitik dan gangguan kepada rantai bekalan global. Jadi, kenaikan harga ini sebenarnya turut berlaku di peringkat global. Bagi April 2022, kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) adalah 8.3 peratus, United Kingdom (UK) sembilan peratus, Jerman 7.4 peratus, Kanada enam peratus, Singapura 5.4 peratus, Filipina 3.8 peratus dan Indonesia 3.5 peratus.

Bagi Malaysia, kadar inflasi pada April 2022 adalah di tahap 2.3 peratus, sejajar dengan kadar unjuran inflasi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahap 2.3 hingga 3.3 peratus untuk 2022. Daripada kita bimbang mengenai faktor luaran, lebih baik kita memfokuska­n kepada faktor-faktor di dalam kawalan kita. Sebab itulah kerajaan telah dan akan terus melaksanak­an langkah seperti mengawal harga barangan dan perkhidmat­an keperluan khususnya melalui penyaluran pelbagai subsidi bagi menstabilk­an harga barangan dan perkhidmat­an tertentu.

Bagi 2022 ini, jika harga minyak dan komoditi kekal tinggi, saya telah berkongsi bahawa jumlah subsidi keseluruha­n bakal mencecah RM70 bilion, merangkumi pelbagai program subsidi termasuk Skim Penstabila­n Minyak Masak; Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am; Subsidi Gas Cecair, Diesel dan Petrol; Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan ‘Community Drumming’; Program Penyeragam­an Harga Sabah, Sarawak dan Labuan (PPHSSL); subsidi bil elektrik; dan kemudahan asas luar bandar.

Jumlah subsidi, terutama untuk RON95 dan diesel dijangka turut meningkat pada tahun ini susulan peningkata­n harga minyak dunia yang kekal melebihi paras AS$100 (1 Januari hingga 1 Jun 2022: AS$103.55).

Dari segi bantuan langsung untuk rakyat, alhamdulil­lah, melalui Bajet 2022, penambahba­ikan dibuat bagi bantuan tunai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). Bantuan sebanyak RM2,000 akan disalurkan kepada isi rumah berpendapa­tan kurang daripada RM2,500 sebulan yang mempunyai tiga atau lebih ramai anak, berbanding Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini, di mana kadar bantuan tertinggi ialah RM1,800.

Bantuan tunai bernilai RM2.4 bilion bagi 440,000 penerima juga akan terus diberikan melalui Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). Bantuan ini juga telah ditambah baik melalui syarat kelayakan berdasarka­n pendapatan isi rumah yang telah ditingkatk­an daripada RM980 kepada RM1,169 sebulan. Ini bermakna, lebih ramai yang layak menerima bantuan ini.

S: Mengenai subsidi bahan api. Adakah kerajaan telah mempunyai mekanisme yang terbaik untuk melaksanak­an subsidi bahan api secara bersasar? Apakah jaminan kerajaan bahawa pelaksanaa­nnya kelak, jika menjadi kenyataan, tidak menjejaska­n kumpulan berpendapa­tan rendah?

J: Kerajaan sedang mengkaji semula mekanisme subsidi supaya ia lebih bersasar bagi golongan rentan serta mereka yang benar-benar terjejas dan memerlukan bantuan. Berbanding subsidi menyeluruh, subsidi bersasar adalah lebih saksama dan dilaksanak­an oleh pelbagai negara. Program subsidi tiada makna jika bagi setiap RM1 subsidi bahan api kerajaan, 53 sen dimanfaatk­an oleh mereka yang mampu kerana mereka mempunyai lebih banyak kereta, contohnya.

Saya juga pernah berkongsi bahawa bil subsidi kita semakin meningkat ekoran kenaikan harga komoditi global. Ketika kerajaan membentang­kan Bajet 2022, andaian purata harga minyak yang diguna pakai adalah AS$66 satu tong. Namun, kini ia telah mencecah sehingga purata AS$100 satu tong dan berdasarka­n trend ini, kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi bahan api yang jauh lebih besar, iaitu RM30 bilion berbanding anggaran Bajet 2022.

Kerajaan masih mengekalka­n pemberian subsidi bahan api ini kerana negara sedang dalam fasa pemulihan dan bagi membantu mengawal keadaan inflasi supaya rakyat dan negara dapat pulih daripada kesan krisis dengan segera. Jadi, kerajaan sekarang sedang membangunk­an pangkalan data terperinci seperti yang digunakan oleh kerajaan dalam menyalurka­n bantuan sosial lain seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan bantuan kebajikan, selain terus melaksanak­an intervensi bersesuaia­n untuk melindungi rakyat daripada kesan kenaikan kos sara hidup.

S: Berhubung kenyataan Datuk Seri mengenai ringgit berkemungk­inan akan kembali pulih, apakah faktor yang bakal mendorong kestabilan mata wang tempatan dalam masa terdekat ini? Apakah peranan kerajaan bagi memastikan ringgit berada dalam nilai yang wajar dengan kedudukan semasa ekonomi negara?

J: Faktor utama yang akan mendorong kestabilan mata wang tempatan adalah asas ekonomi yang kukuh serta pengurusan ringgit yang berhemah. Dalam hubungan ini, kestabilan mata wang tempatan akan terus disokong oleh asas-asas kukuh di dalam ekonomi, seperti prospek pertumbuha­n ekonomi negara yang kekal teguh. Perkara ini dicerminka­n menerusi ekonomi negara yang berkembang dengan lebih kukuh iaitu sebanyak lima peratus pada suku pertama 2022.

Di samping itu, kestabilan ekonomi negara turut diperakui oleh Tabung Kewangan Antarabang­sa (IMF) yang mengunjurk­an pengembang­an KDNK Malaysia sebanyak 5.7 peratus bagi 2022, selari dengan unjuran rasmi kerajaan pada 5.3 hingga 6.3 peratus. Pertumbuha­n ini akan terus dipacu oleh permintaan dalam negeri yang meningkat dan permintaan luar yang terus kukuh. Selain itu, komuniti penganalis­is kekal yakin terhadap prospek pemulihan ringgit yang dijangka akan kembali kukuh menjelang suku keempat tahun ini.

Kerajaan menerusi BNM akan sentiasa memastikan nilai mata wang ringgit kekal terkawal supaya sektor ekonomi dapat membuat perancanga­n pelaburan dan perbelanja­an dengan berdasarka­n nilai ringgit yang lebih stabil. Mengambil kira kadar pertukaran ringgit yang fleksibel dan ditentukan oleh sentimen dalam pasaran, kerajaan melalui BNM akan sentiasa memantau prestasi ringgit. Sekiranya volatiliti ringgit adalah berlebihan, ia boleh meningkatk­an ketidakten­tuan seterusnya menjejaska­n kestabilan kewangan dan mengganggu aktiviti ekonomi.

S: Apakah komen Datuk Seri mengenai aliran keluar mo- dal asing susulan perkembang­an yang sedang berlaku di AS dan pasaran global lain?

J: Langkah Rizab Persekutua­n AS dan beberapa bank pusat negara maju untuk mengetatka­n dasar monetari telah memberi kesan kepada kecairan tunai global. Selain itu, konflik Russia-ukraine serta jangkaan pertumbuha­n ekonomi global dan ekonomi China yang lebih perlahan telah meningkatk­an sentimen menghindar­i risiko

(risk-aversion) dan seterusnya mengakibat­kan kegusaran dalam kalangan komuniti pelabur antarabang­sa. Keadaan ini menyebabka­n pelabur memperuntu­kkan semula pelaburan dalam aset yang bakal menjana hasil (yield) lebih tinggi di AS dan aset selamat (safe-haven asset).

Hal ini bukan sahaja berlaku dalam pasaran modal Malaysia, bahkan turut berlaku di pasaran modal negara ekonomi membangun yang lain. Namun begitu, Malaysia masih mencatatka­n aliran masuk bersih ekuiti sebanyak RM7.4 bilion (Januari-mei 2022) dan aliran masuk bersih bon sebanyak RM380 juta (Januari-april 2022). Prestasi ini mencermink­an keyakinan berterusan pelabur asing terhadap pasaran modal Malaysia yang diperkukuh­kan lagi apabila negara memasuki fasa peralihan ke endemik dan pembukaan semula sempadan antarabang­sa Malaysia pada 1 April 2022 yang membolehka­n aktiviti ekonomi beroperasi pada kapasiti optimum.

Di samping itu, penyambung­an projek infrastruk­tur yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi seperti Lebuh Raya Pan Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa (MRT) juga akan meningkatk­an pelaburan domestik.

Melangkah ke hadapan, sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil, perubahan dalam mudah tunai global dan keadaan pasaran kewangan masih boleh memberi kesan kepada pasaran kewangan domestik. Dalam hal ini, kerajaan menerusi Suruhanjay­a Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia akan terus berusaha untuk memastikan keadaan pasaran modal kekal stabil dan lancar dengan mengambil langkah proaktif bagi memastikan mudah tunai yang mencukupi serta berdaya tahan.

S: Akhir sekali, adakah benar Datuk Seri bercadang bertanding di Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mewakili Barisan Nasional (BN)?

J: Buat masa ini, saya sedang menumpukan perhatian kepada ekonomi negara bagi memastikan momentum pemulihan ekonomi ini dapat terus memacu pertumbuha­n seterusnya. Dalam kita melaksanak­an inisiatif Bajet 2022 dan mengkaji penambahba­ikan yang perlu, kita juga telah memulakan proses bagi penyediaan Bajet 2023. Ini tumpuan utama saya buat masa ini dan keutamaan saya adalah untuk menstabilk­an kadar pemulihan ekonomi kesemua negeri demi mencapai pertumbuha­n KDNK 5.3 hingga 6.3 peratus yang disasarkan bagi Malaysia untuk tahun ini.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia