Berita Harian

Depay kecewakan Belanda

-

Rotterdam: Memphis Depay gagal menyempurn­akan sepakan penalti lewat permainan untuk Belanda sekadar terikat 2-2 menentang Poland dalam aksi Kumpulan A4 Liga Negara-negara UEFA di sini, kelmarin.

Pertahanan Poland, Matty Cash dipersalah­kan kerana bola terkena tangan pada minit ke-90 untuk sepakan penalti kepada tuan rumah, namun sepakan Depay tersasar.

Belanda turun untuk perlawanan itu dengan rekod 100 peratus selepas kemenangan 4-1 ke atas Belgium dan 2-1 menentang Wales.

Poland membuka jaringan pada minit ke-18 selepas hantaran lintang Nicola Zalewski menemui Cash yang menewaskan Mark Flekken di gawang Belanda. Lima minit di babak kedua, Poland mendahului 2-0 hasil gerakan Krzysztof Piatek dan Przemyslaw Frankowski yang membolehka­n Piotr Zielinski membolosi gawang tuan rumah.

Bagaimanap­un Belanda bangkit dengan dua gol dalam tempoh tiga minit menerusi Davy Klaassen dan Denzel Dumfries sebelum Depay mensia-siakan peluang kemenangan. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia