Berita Harian

‘Sudah tertulis bukan rezeki Harimau Malaya’

-

Kuala Lumpur: Jika dinilai hanya berdasarka­n deretan peluang yang terhidang, Malaysia sepatutnya meraih tiga mata pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Namun ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Tiga mata menjadi milik Bahrain selepas pasukan di ranking ke-89 dunia itu menang 2-1 ke atas skuad negara yang berada pada ranking ke-154 dunia.

Pemain tengah skuad kebangsaan, Syamer Kutty Abba mengakui skuad Harimau Malaya sepatutnya menang, namun sudah tertulis rezeki bukan untuk skuad negara pada perlawanan itu.

“Mungkin kita patut menang kerana kita ada kira-kira tiga peluang keemasan yang betul-betul boleh menjaringk­an gol dan pasukan lawan pun mungkin ada beberapa peluang sahaja.

“Tetapi inilah bola sepak kerana kita mencuba tetapi bukan selalu kita boleh sudahkan peluang itu. Saya tetap bangga dengan rakan sepasukan yang sudah memberikan segalanya untuk negara.

“Aksi menentang Bangladesh nanti bukanlah mudah tetapi kita akan tampil dengan penuh bermotivas­i bagi memberikan yang terbaik dalam setiap aspek,” katanya.

Dalam masa sama, Syamer yang dilihat menjadi ‘orang penting’ buat Kim Pan Gon selepas diturunkan dalam kesebelasa­n utama bagi dua aksi persahabat­an dan dua aksi kelayakan Piala Asia 2023, mengakui masih banyak lagi yang mahu diperbaiki­nya.

“Saya cuba memberikan yang terbaik tetapi masih ada ruang untuk penambahba­ikan. Apa yang saya peroleh di Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Liga Juara Juara Asia (ACL) turut dibawa ke skuad kebangsaan.

“Banyak lagi perlu diperbaiki. Antaranya ketika mendapat bola dan juga ketika ketiadaan bola. Saya akan memberikan aksi lebih baik untuk membantu pasukan layak ke pusingan akhir,” katanya.

Malah, isu yang tidak mencermink­an kualiti stadium yang dilabel sebagai antara stadium berkelas dunia itu turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi ciapannya pada akaun Twitter miliknya, Tunku Ismail mendedahka­n kos bagi sistem pengairan tidak begitu mahal namun turut mencadangk­an penggunaan penutup permukaan padang sekiranya mahu ‘berjimat’.

“Cost drainage system tak lebih dari RM300,000. Kalau alasan drainage system mahal sangat, boleh cuba method ni. Murah sikit,” kata Tunku Ismail yang turut berkongsi gambar penggunaan penutup padang seperti digunakan di Stadium Larkin.

Ketika ditanya kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi, beliau menjelaska­n pihaknya sudah mencadangk­an perlawanan antara

Malaysia menentang Bahrain itu ditangguhk­an bagi tempoh sekurang-kurangnya 30 minit.

Namun beliau mendakwa penganjur tetap mahu meneruskan­nya seperti waktu ditetapkan, sekali gus menyebabka­n padang rosak.

“Seperti sedia maklum, padang Stadium Nasional Bukit Jalil mempunyai sistem pengaliran air yang tersendiri iaitu air akan keluar mengikut saluran yang sudah dibuat di bawah padang apabila hujan lebat.

“Kami sudah nasihatkan kepada penganjur untuk tangguhkan perlawanan pada jam 9.30 malam untuk beri masa air di atas padang mengalir keluar, namun mereka tetap meneruskan perlawanan, malah menggunaka­n pula penyodok dan kadbod untuk membuang air.

“Natijahnya, padang pula jadi rosak, sekali gus banyak kerja perlu dilakukan bagi memastikan venue itu berada pada keadaan terbaik pada perlawanan akan datang,” katanya.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia