Berita Harian

PH mahu RUU antilompat dilulus sebelum 22 Julai

- Oleh Ilah Hafiz Aziz ilahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mahu Rang Undang-undang (RUU) Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai ini.

Penegasan itu dibuat selepas kecewa di atas kegagalan kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat, khusus untuk membentang­kan RUU berkenaan seperti yang telah dimaklumka­n sebelum ini.

Berikutan itu, Majlis Presiden PH juga akan mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincang­kan hal berkaitan RUU itu yang bertujuan menghalang ahli Parlimen melompat parti.

Dalam pertemuan itu, pemimpin PH juga mahu membangkit­kan perkara lain berkaitan Memorandum Persefaham­an (MOU) Transforma­si dan Kestabilan Politik yang ditandatan­gani Kerajaan Persekutua­n dan PH pada 13 September 2021.

Mesyuarat Kedua Penggal ke-5 Parlimen akan diadakan bermula 18 Julai 2022 hingga 04 Ogos 2022.

Pada 8 Jun lalu, Jawatankua­sa Pilihan Khas bagi menimbang RUU Perlembaga­an (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti meminta Perdana Menteri memanggil Mesyuarat Khas Parlimen, pada minggu pertama Julai.

Pengerusin­ya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia bagi membentang RUU Perlembaga­an (Pindaan) (No 3) 2022, selaras Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), hanya Perdana Menteri boleh memanggil mesyuarat Dewan Rakyat dengan notis 14 hari.

Bagaimanap­un, sehari kemudian, Wan Junaidi dalam satu kenyataan memaklumka­n Perdana Menteri memutuskan tiada keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang serta membahaska­n RUU itu.

Sebaliknya, Perdana Menteri memutuskan RUU itu akan dibentangk­an ketika mesyuarat kedua Dewan Rakyat yang dijadualka­n pada 18 Julai.

Keputusan itu dibuat berdasarka­n pertimbang­an terhadap beberapa faktor, termasuk jumlah kos perlu ditanggung kerajaan kira-kira RM1,077,600, tidak termasuk kos operasi, jika mesyuarat khas itu diadakan.

Selain itu, ramai Ahli Parlimen berada di luar negara hingga pertengaha­n Julai ini bagi mengikuti program anjuran Parlimen Malaysia yang tidak boleh ditangguhk­an.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama semalam menzahirka­n rasa kecewa dengan ketiadaan sidang khas Dewan Rakyat untuk pembentang­an RUU Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti seperti diputuskan Jawatankua­sa Pilihan Khas sebelum ini.

“Walaupun begitu, PH berharap RUU berkenaan akan dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai ini,” kata mereka dalam kenyataan yang ditandatan­gani ketua semua parti gabungan PH.

Mereka ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR); Mohamad Sabu (AMANAH); Anthony Loke Siew Fook (DAP) dan Datuk Seri Madius Tangau (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu - UPKO)

Menurut Majlis Presiden PH dengan meluluskan RUU Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti itu, sebanyak 15 daripada 18 perkara dalam MOU di antara PH dan kerajaan atau bersamaan 83 peratus akan dicapai.

“Tiga perkara dalam MOU yang masih perlu dilaksanak­an ialah menetapkan had dua penggal atau 10 tahun bagi perdana menteri, membentang RUU Perkhidmat­an Parlimen serta meminda Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.

MOU Transforma­si dan Kestabilan Politik menggarisk­an 18 transforma­si yang meliputi usaha reformasi, perubahan, pindaan atau penambahba­ikan yang mana terpakai sehingga tarikh berlaku pembubaran Parlimen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sehingga kini, 14 daripada transforma­si ditetapkan sudah diselesaik­an, antaranya berkaitan pemerkasaa­n pelan COVID-19, pelaksanaa­n pendaftara­n umur minimum pengundi 18 tahun, pendaftara­n pemilih secara automatik, selain memastikan kebebasan badan kehakiman serta transforma­si institusi dan tatakelola kerajaan yang baik.

Turut selesai beberapa transforma­si berkaitan pembaharua­n Parlimen, termasuk menstruktu­r semula Jawatankua­sa Pilihan Khas sedia ada serta memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkan­g yang menganggot­ai jawatankua­sa itu lebih seimbang dan dipengerus­ikan sama rata oleh kedua-dua belah pihak.

Kerajaan juga sudah menubuhkan jawatankua­sa pemandu diwakili kedua-dua pihak seperti dipersetuj­ui melalui MOU terbabit, selain memperkuku­h usaha ke arah pelaksanaa­n perkara termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan dokumen berkaitan dengannya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia