Berita Harian

Baiki kelemahan sebelum laksana semula GST

-

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan tidak memperkena­lkan sebarang cukai baharu pada tahun ini, termasuk pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) dilihat bertepatan dengan situasi semasa.

Ahli ekonomi dan percukaian bagaimanap­un berpendapa­t masih perlu ada langkah selamat lain dalam memastikan ekonomi negara tidak terjejas berikutan keadaan semasa ekonomi global.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abdul Aziz Abu Bakar, berkata ada isu berbangkit perlu diselesaik­an terlebih dulu.

“Jika mahu perkenalka­n cukai baharu atau laksana semula GST, perlu perbaiki dahulu kelemahan yang dikenal pasti seperti isu pemulangan balik GST. Kita faham cukai menjadi instrumen ekonomi yang penting bagi memperoleh hasil atau pendapatan.

“Ini termasukla­h GST yang dimansuhka­n, tapi sebenarnya boleh dilaksanak­an semula kerana ia memang berkesan untuk meningkatk­an hasil kerajaan. Bagaimanap­un, ia tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa,” katanya kepada BH, semalam.

Semalam, BH melaporkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sistem percukaian baharu termasuk GST, tidak mungkin dapat dilaksanak­an tahun ini kerana kerajaan perlu memastikan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 di landasan stabil dan kukuh serta melihat persekitar­an semasa ekonomi negara.

Abdul Aziz berkata, GST adalah kaedah percukaian paling berkesan untuk negara meraih hasil, namun pengenalan semula cukai itu memerlukan tempoh yang relevan untuk memberi latihan semula kepada peniaga di samping menyalurka­n maklumat komprehens­if kepada pengguna.

“Apa yang rakyat perlu tahu, pelaksanaa­n semula cukai baharu seperti GST 2.0 akan mengambil masa yang panjang kerana Akta GST perlu dibentangk­an semula dan diluluskan di Parlimen setelah dimansuhka­n pada 2018,” katanya.

Penganalis­is Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula melihat keputusan kerajaan menggubal Akta Tanggungja­wab Fiskal (FRA), pelaksanaa­n Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Semula Perbelanja­an Awam (PER) dapat membantu ekonomi negara.

Katanya, langkah terbabit bagi memastikan tadbir urus fiskal dalam keadaan baik dan negara mampu mencapai kemampanan fiskal untuk jangka sederhana dan panjang.

“Ia diharap dapat mengurangk­an ketirisan dan menghapusk­an gejala rasuah yang menyebabka­n negara kerugian hasil yang banyak setiap tahun. Jika cukai baharu dilaksanak­an atau GST dikembalik­an, ia pasti menambah beban kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang bersetuju dengan langkah tidak melaksanak­an sebarang cukai baharu dalam masa terdekat, juga berpendapa­t kerajaan tidak boleh berterusan memberi subsidi secara pukal terutama subsidi petrol RON95 kerana akan meningkatk­an beban perbelanja­an kerajaan.

“Subsidi bersasar harus diperkenal­kan, hanya tumpu kepada golongan rentan dan kumpulan berpendapa­tan 40 peratus terendah (B40).

“Untuk tangani risiko kenaikan harga barangan disebabkan tiada lagi subsidi petroleum bagi majoriti penduduk dan peniaga, inisiatif bantuan langsung kepada B40 harus diteruskan supaya impak kenaikan harga barangan tidak memberi kesan yang amat negatif kepada golongan ini,” katanya.

 ?? ?? Keratan akhbar BH semalam.
Keratan akhbar BH semalam.
 ?? ?? Abdul Aziz Abu Bakar
Abdul Aziz Abu Bakar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia