Berita Harian

Tiga langkah tangani isu kekurangan ubat

- Oleh Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Fasiliti kesihatan awam boleh pinjam bekalan untuk kegunaan kecemasan

Kuala Lumpur: Kementeria­n Kesihatan (KKM) merumuskan tiga langkah penyelesai­an sementara untuk menangani isu kekurangan bekalan ubat-ubatan yang kini berlaku di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah pertama dengan membenarka­n fasiliti kesihatan swasta memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan dari fasiliti kesihatan swasta lain atau fasiliti kesihatan kerajaan yang terdekat.

Beliau berkata, dalam soal ini fasiliti kesihatan kerajaan boleh menimbang untuk meminjamka­n bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan ketika kecemasan, krisis dan bencana dengan memastikan terlebih dahulu ketersedia­an dan baki stok ubat-ubatan mencukupi untuk kegunaan aktiviti harian di fasiliti kesihatan kerajaan terbabit.

“Selain itu, pesakit juga boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat untuk meneruskan rawatan sekiranya perlu, namun pesakit mungkin memerlukan perubahan regimen ubat-ubatan berdasarka­n ketersedia­an di fasiliti kerajaan yang dirujuk. Langkah akhir, pesakit boleh membeli ubat-ubatan berkenaan dari Farmasi Komuniti dengan preskripsi dari klinik atau hospital swasta berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

BH sebelum ini melaporkan beberapa jenis ubat-ubatan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.

Antara ubat didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit, selain ubat untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) disebabkan peningkata­n kes itu di seluruh negara.

Susulan pendedahan itu, KKM mencari strategi bagi penyelesai­an jangka masa sederhana dan panjang berhubung isu kekurangan bekalan ubat termasuk meneroka sumber baharu atau bekerjasam­a dengan industri farmaseuti­kal tempatan.

Dalam pada itu, Khairy berkata pihaknya mengambil maklum isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di klinik dan hospital swasta serta farmasi komuniti di Malaysia yang dilaporkan mutakhir ini.

“KKM memandang serius isu kekurangan bekalan ubat-ubatan sama ada di fasiliti kesihatan kerajaan ataupun swasta.

“Justeru, KKM berharap semua langkah ini dapat memberi penyelesai­an sementara terhadap isu kekurangan bekalan ubat-ubatan ke fasiliti kesihatan swasta supaya kesinambun­gan perkhidmat­an kesihatan yang berkualiti kepada rakyat dapat diteruskan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata KKM memulakan perkongsia­n maklumat senarai ubat-ubatan yang mengalami gangguan dan cadangan produk alternatif bagi ubat-ubatan terbabit dengan pihak pengamal perubatan swasta, hospital swasta dan farmasi komuniti.

Senarai ini, katanya akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan langkah ini dilakukan untuk mengurangk­an impak kepada situasi semasa dan penggunaan secara optimum ubat-ubatan generik lain sebagai alternatif, yang masih mempunyai bekalan di pasaran.

“Penyelesai­an jangka panjang sedang diusahakan KKM dalam menangani isu ini dan pemantauan berterusan dibuat untuk memastikan ketersedia­an ubat-ubatan di seluruh Malaysia,” katanya.

 ?? ?? Keratan akhbar BH 8 Jun lalu.
Keratan akhbar BH 8 Jun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia