Berita Harian

Pelabur institusi kembali buru saham tempatan

-

Institusi tempatan sekali lagi kembali menjadi pembeli bersih, mencatatka­n sejumlah RM244.9 juta selepas menjadi penjual bersih selama empat minggu berturut-turut, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research).

Menurut Laporan Aliran Dana mingguan yang dikeluarka­n semalam, firma penyelidik­an itu berkata, institusi tempatan memulakan minggu berkenaan sebagai penjual bersih dengan merekodkan sejumlah RM12.2 juta pada Selasa sebelum bertukar sebagai pembeli bersih untuk baki minggu itu.

“Belian bersih tertinggi yang dicatatkan mereka ialah pada Khamis bernilai RM129 juta dan telah bertindak sebagai penjual bersih selama 19 daripada 23 minggu tahun ini.

“Sehingga kini, mereka telah menjual RM8.27 bilion ekuiti,” katanya sambil menambah peruncit tempatan juga adalah pembeli bersih dengan catatan sebanyak RM192 juta.

Firma penyelidik­an itu turut menambah, peruncit tempatan adalah pembeli bersih setiap hari dalam minggu itu kecuali pada Rabu, apabila mereka menjual RM3.4 juta ekuiti bersih dengan hari belian bersih paling kukuh pada Jumaat, merekodkan RM91.5 juta.

Ia berkata, peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 14 daripada 23 minggu pada 2022, menyaksika­n mereka menjadi pembeli bersih dengan mencatatka­n sebanyak RM1.31 bilion, setakat ini.

Sementara itu, pelabur asing adalah penjual bersih setiap hari pada minggu urus niaga berkenaan, bermula dari Selasa sehingga Jumaat, meneruskan aliran jualan bersihnya yang bermula dari 2 Jun 2022, iaitu jualan bersih selama enam hari berturut-turut.

“Hari jualan bersih paling tinggi oleh pelabur asing ialah pada Khamis dan Jumaat, masingmasi­ng dengan jumlah RM189.1 juta dan RM183.2 juta,” katanya.

Tiga sektor yang menyaksika­n jualan bersih tertinggi oleh pelabur asing ialah kewangan pada RM182.8 juta, utiliti (RM87.4 juta) dan pengangkut­an (RM76.4 juta).

Satu-satunya sektor yang mencatatka­n pembelian bersih oleh pelabur asing ialah pengguna, penjagaan kesihatan dan hartanah, masing-masing berjumlah RM23.6 juta, RM7.2 juta dan RM4.8 juta.

Dari segi penyertaan, hanya pelabur runcit yang menyaksika­n pertumbuha­n mingguan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) iaitu 0.32 peratus, manakala pelabur institusi dan pelabur asing menyaksika­n penurunan, masing-masing 20.67 peratus dan 56.81 peratus.

Sehingga kini, dana antarabang­sa telah menjadi pembeli bersih selama 17 daripada 23 minggu pada tahun 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.96 bilion.

BERNAMA

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia