Berita Harian

Din, Kid pegang ‘bunyi’ Search

- Oleh Fatin Farhana Ariffin

Konsert Search Rockin On Rooftop bukti DNA muzik band legenda milik dua beradik

fatin.farhana@bh.com.my

Bertempat di lokasi ikonik yang menjadi pilihan mat rock berkumpul pada era kegemilang­an muzik genre itu pada 1980-an, Konsert Search Rockin On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, Ahad lalu dianggap suatu manifestas­i kembara seni kumpulan Search biarpun tanpa kehadiran vokalis asal, Amy.

Dihimpit krisis dalaman sehingga peminat band legenda itu terbahagi dua, sesuatu yang ketara dapat dilihat pada persembaha­n padu pemain gitar, Kid dan Din; vokalis baharu, Denden Gonjalez; Yan yang bermain bes dan pemain dram, Minn pada malam itu adalah ‘bunyi’ sebenar kumpulan berkenaan.

Speechless (hilang kata-kata). Itu reaksi diberi penyanyi ‘otai’, Datuk Hattan apabila ditanya mengenai Konsert Search Rockin On Rooftop, usai persembaha­n.

“Saya sudah lama tidak dengar muzik begini. Memang bunyi Search ada pada Din dan Kid. Apabila saya dengar Din memainkan lagu Teguh, saya sedih, seperti mahu menangis.

“Saya sangat seronok dan rindu hendak tengok dia main, hari ini saya berpuas hati.

“Saya rindu sound yang pekat begini. Sound yang diberikan memang puas hati. Kunci bunyi Search itu memang ada pada Din dan Kid. Tiada siapa boleh menafikan.

“Tanyalah siapa pun, saya pasti mereka ada pendapat sama. Berbaloi datang konsert ini. Saya ‘layan’ dan gembira menonton konsert ini,” katanya kepada HIP.

Tanpa ragu-ragu, Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 57, menganggap persembaha­n Din, Kid, Yan, Minn dan vokalis baharu, Denden cukup memuaskan.

Hattan memuji persembaha­n Denden yang berasal dari Indonesia yang dapat menyempurn­akan lebih 17 lagu kumpulan ikonik itu.

“Dia menyanyi sedap, ‘melekat’ dan memang ‘sesuatu’ Denden ini. Mula-mula saya tengok dia pemalu, tetapi dia nyanyi sedap,” katanya.

Justeru, penyanyi lagu Biso Bonar ini berharap Search di bawah Din dan Kid boleh meneruskan perjuangan muzik mereka, bukan sahaja di Malaysia, malah ke negara jiran.

“Saya berharap Search terbang tinggi ke negara seberang. Saya percaya kalau mereka hasilkan album penuh, boleh meletup.

“Album itu boleh merentasi pasaran Indonesia kerana penyanyiny­a dari seberang,” katanya.

Kongsi Hattan, beliau berbual dengan Datuk M Nasir dan samasama berpendapa­t, jika Search di bawah Din dan Kid menghasilk­an album baharu, lagu dicipta mesti sedap.

“Saya juga harap mereka lancarkan siri jelajah. Di situ kita boleh semarakkan kembali arena rock. Saya fikir selepas pandemik, konsert saya sudah berlangsun­g dan konsert ini, di mana kedua-duanya sukses.

“Alhamdulil­lah, ini petanda yang baik untuk arena muzik kita terutama muzik rock. Saya harap mereka terus jalan, jangan tunggu tiga hingga empat bulan lagi,” katanya yang mementaska­n Konsert Datuk Hattan 35 Years Journey selama dua malam di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Selain Hattan, Konsert Search Rockin On Rooftop turut melihat rakan seperjuang­an seperti M Nasir dan Datuk Ramli Sarip hadir memberikan sokongan.

Pada Konsert Search Rockin On Rooftop, Ahad lalu, kehadiran lebih 3,000 peminat membuktika­n biarpun tanpa Amy, persembaha­n band legenda itu tetap berbisa.

Nyata, aura Search yang ditubuhkan

Hattan bersama Kid sebelum Konsert Search Rockin On Rooftop.

sejak 1981 utuh biarpun pelbagai kontrovers­i melanda sehingga band rock legenda itu terbahagi dua.

Kehadiran Denden mengubat rindu peminat terhadap persembaha­n bertenaga kumpulan rock ikonik itu.

Biarpun konsert bermula agak lewat iaitu pada jam 9.30 malam berikutan hujan, peminat setia menanti dalam kebasahan.

Pada konsert lebih dua jam itu, Search mendendang­kan 17 lagu. Tirai konsert dibuka lagu Bencana, Metropolit­an dan Pasti.

Search terus membuat peminat terpaku dengan lagu Purnama, Melastik Ke Bintang, Di Pintu Sepi, Bersalah Atau Tidak, Speech, Rock N Roll Pie.

Turut didendangk­an adalah lagu Fantasia Bulan Madu, Bencana, Metropolit­an, Teguh, Neo Romantik dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Tambah manis, konsert itu dihangatka­n dengan persembaha­n Ratu Rock, Ella yang menyanyika­n lagu Melayar Bahtera dan Bayangan secara duet bersama Denden.

Bertemu Kid usai persembaha­n, pemain gitar itu risau melihat hujan yang tidak menunjukka­n tanda mahu berhenti sebelum konsert.

“Kami risau sebab hujan seperti tidak akan berhenti. Namun, hujan adalah rezeki buat kami... Alhamdulil­lah. Tidak sangka sangka kehadiran peminat yang cukup luar biasa.

“Peminat setia menanti walaupun terpaksa bermandi hujan,” katanya.

Kid berkata, kehadiran vokalis baharu Denden perlu dipuji meskipun kali pertama beraksi pada konsert berskala besar bersama mereka.

“Kami berpeluang bersama dalam waktu yang agak singkat. Namun, kami gandakan usaha dan latihan. Akhirnya, dapat hasil yang baik malam ini (malam tadi).

“Denden beri sepenuh tenaga yang dimiliki demi meneruskan legasi Search,” katanya.

Kid turut berterima kasih kepada abangnya, Din yang banyak memberi semangat kepada ahli kumpulan untuk meneruskan perjuangan.

“Pujian harus diberi kepada Din. Kita tahu apa yang berlaku. Din ada tunjang utama malam ini (malam tadi). Terima kasih kepada peminat yang hadir.

“Melihat kepada sokongan malam ini, ia beri Search semangat untuk terus berjuang. Mungkin ada hadiah buat peminat,” katanya.

Sementara itu, Denden gembira dapat menjayakan persembaha­n itu dengan baik.

“Pada mulanya gementar untuk menyanyi di hadapan peminat Search. Namun, selepas itu, semuanya okay. Maklum balas peminat di Indonesia juga baik.

“Saya lihat banyak komen yang memberi sokongan. Terima kasih untuk semuanya kerana terus menyokong kami. Saya akan ingat malam ini sampai bila-bila,” katanya.

Lebih 3,000 peminat memenuhi bumbung Kompleks Campbell menyaksika­n Konsert Search Rockin On Rooftop.

 ?? (Foto IG Hattan) ??
(Foto IG Hattan)
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia