Berita Harian

Bekas tentera tidak berpencen hidup miskin

- Oleh Ilah Hafiz Aziz ilahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Kuala Lumpur: Majoriti pesara tentera yang tidak berpencen tergolong dalam kelompok B40 selepas tempoh perkhidmat­an mereka tamat kerana tidak memiliki kemahiran atau pendidikan untuk mencari pekerjaan yang sesuai bagi meneruskan kehidupan.

Kebanyakan mereka dikatakan meneruskan hidup dengan bekerja sebagai pengawal keselamata­n atau pulang ke kampung untuk meneruskan pekerjaan tradisi keluarga seperti mengerjaka­n sawah dan menoreh getah kerana tidak memiliki aset atau simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan.

Akibatnya, kebanyakan mereka gagal keluar daripada kelompok B40 dengan berpendapa­tan kecil serta tidak berpeluang untuk mengubah hidup.

BH difahamkan, kebanyakan veteran tentera dalam kelompok B40 ini adalah pesara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Renjer, manakala bekas Tentera Udara dan Laut lebih bernasib baik kerana mempunyai kemahiran untuk mencari pekerjaan yang lebih baik, termasuk berkhidmat dalam agensi kerajaan lain.

Golongan B40 dikategori­kan kumpulan yang berpendapa­tan isi rumah di bawah RM4,850; M40 (RM4,851 hingga RM10,970), manakala T20 pendapatan melebihi RM10,970.

Naib Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), Kapten (B) Mohamad Yahaya, berkata situasi ini berlaku kerana kebanyakan veteran tidak mempunyai pendidikan yang tinggi sehingga sukar untuk mendapat peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmat­an lain, selain keselamata­n.

“Kebanyakan veteran ini terperangk­ap dalam kumpulan B40 selepas tamat perkhidmat­an kerana sukar mendapat pekerjaan yang lebih baik. Mereka ini tidak mendapat peluang kedua untuk memperbaik­i kehidupan.

“Malah, ada dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai rumah atau tanah untuk dikerjakan bagi meneruskan kehidupan. Kebanyakan mereka hanya berkhidmat dalam sektor keselamata­n sebagai pengawal dan sukar menyertai sektor lain disebabkan faktor pendidikan yang rendah,” katanya kepada BH.

Mohamad Yahaya mengakui anggota tentera yang tidak berpencen menerima gratuiti, bergantung kepada tempoh perkhidmat­an mereka, namun ramai antara mereka ‘menghabisk­an’ ganjaran itu tanpa memikirkan masa depan.

“Ada yang menerima RM15,0000, malah ada yang mendapat sehingga RM70,000. Walaupun ia bukan jumlah yang besar, ia boleh dimanfaatk­an untuk masa depan sekiranya digunakan secara berhemat dan melabur di tempat yang sepatutnya.

“Ramai juga membeli tanah untuk diusahakan atau rumah untuk didiami, selain memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya.

PVATTBM menjangkak­an sekurang-kurangnya 200 hingga 500 pesara tanpa pencen hidup dalam kesusahan di setiap negeri.

“Di tempat saya iaitu di Perlis, sekurang-kurang 40 hingga 50 veteran tentera yang hidup dalam kesusahan tetapi saya yakin ramai lagi disebabkan mereka bukan ahli persatuan, namun perlu dicari dan dibantu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankua­sa Pusat PVATTBM, Noorazme Yasin mengakui veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) lebih 'laris' dalam pasaran kerjaya kerana kebanyakan mereka ada kemahiran dalam bidang teknikal.

“Sebagai contoh veteran tentera laut ramai yang menyertai Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM), manakala veteran tentera udara menyertai Airod Sdn Bhd,” katanya.

Noorazme mengakui bukan senang untuk dirinya sendiri meneruskan kehidupan selepas tamat berkhidmat dan situasi sama turut dialami majoriti veteran yang lain.

“Selepas bersara saya meneruskan hidup dengan berniaga. Apa boleh saya katakan ia cukup sukar tetapi perlu dilalui demi keluarga. Situasi ini berlaku kepada kebanyakan pesara tentera lain yang tidak berpencen,” katanya.

Pada 6 Jun lalu, lebih 500 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari seluruh negara berkumpul di Tugu Negara di sini bagi menyuaraka­n tuntutan supaya kerajaan membela kebajikan mereka. Mereka mendakwa sudah lapan tahun berjuang untuk menegakkan tuntutan yang disifatkan sebagai 'hak kumpulan pesara', bagaimanap­un tuntutan mereka tidak mendapat perhatian kerajaan.

Antara tuntutan mereka ialah penyelaras­an pencen, pemberian pencen kepada veteran yang tidak menerima pencen serta membuka ruang untuk beri pengampuna­n kepada veteran ATM supaya mereka dapat menerima pencen serta diiktiraf sebagai veteran.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia