Berita Harian

Rayuan UMNO batal saman ditolak mahkamah

-

Tiga panel hakim dapati tiada merit permohonan dikemukaka­n

Putrajaya: Mahkamah Rayuan semalam menolak rayuan UMNO untuk membatalka­n saman yang difailkan terhadap parti politik itu oleh SRC Internatio­nal Sdn Bhd dan dua anak syarikatny­a untuk menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahka­n secara salah kepada UMNO.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Seri Mariana Yahya mendapati tiada merit dalam rayuan UMNO.

“Ini bukanlah suatu kes yang jelas serta sesuai untuk diputuskan melalui permohonan pembatalan,” kata Hakim Hadhariah yang mengetuai panel itu.

Beliau mengatakan terdapat beberapa isu yang ditimbulka­n di dalam pliding yang difailkan termasuk isu pelanggara­n tanggungja­wab fidisuari, pelanggara­n amanah, penyalahgu­naan duit amanah dan tindakan frod terhadap duit amanah yang hanya boleh diputuskan melalui perbicaraa­n penuh di mahkamah.

“Kesemua responden (SRC Internatio­nal, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd) memohon hak mereka untuk didengar,” katanya sambil menambah jika terdapat sebarang kesalahan yang dilakukan, pasti ada cara untuk membetulka­nnya semula.

Hakim Hadhariah mengekalka­n keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 November tahun lalu yang menolak permohonan UMNO untuk membatalka­n saman itu.

Panel itu juga membatalka­n rayuan UMNO terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarka­n SRC Internatio­nal dan anak syarikatny­a untuk meminda nama defendan dalam writ saman dan pernyataan tuntutan mereka selepas peguam yang mewakili UMNO, Shahrul Fazli Kamaruzama­n memberitah­u mahkamah mengenai penarikan balik rayuan berhubung keputusan itu.

Panel hakim itu mendengar rayuan terbabit melalui dalam talian.

Dalam writ samannya, SRC Internatio­nal, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran mendakwa parti politik itu mengetahui bahawa wang terbabit adalah milik SRC Internatio­nal dan UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

Syarikat itu pada mulanya memfailkan saman itu dengan menamakan UMNO yang disaman melalui Presidenny­a, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan selaku defendan.

Mahkamah Tinggi bagaimanap­un, membenarka­n permohonan syarikat itu untuk meminda nama defendan dalam writ saman dan pernyataan tuntutan menggantik­an Ahmad Zahid dan Ahmad Maslan dengan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Pada 10 Mei 2021, Kementeria­n Kewangan mengesahka­n 1MDB dan anak syarikatny­a, SRC Internatio­nal Sdn Bhd memfailkan 22 saman bagi mendapatka­n semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Kementeria­n itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei 2021 iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

Peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili SRC Internatio­nal, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia