Berita Harian

Kes jangkitan penyakit HFMD menurun 22.9 peratus

-

Putrajaya: Jumlah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada Minggu Epidemiolo­gi 23/2022 menurun 22.9 peratus iaitu 13,080 kes dilaporkan, berbanding minggu sebelumnya yang mencatatka­n 16,954 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata trend kes mingguan HFMD menurun sejak ME 22/2022, selepas bilangan kes mencapai kemuncak tertinggi pada ME 21/2022, iaitu melebihi 18,000 kes.

“Walaupun terdapat trend penurunan kes HFMD sejak dua minggu berturut-turut, orang awam perlu mengamalka­n langkah pencegahan bagi mengelakka­n diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti HFMD,” katanya semalam.

Mengulas penularan HFMD secara keseluruha­n, Dr Noor Hisham berkata, pada tahun ini iaitu sehingga 11 Jun lalu, 95,924 kes sudah dilaporkan, iaitu peningkata­n sebanyak 36 kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 (ketika pandemik COVID-19) iaitu 2,654 kes.

“Setakat 11 Jun lalu, Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain iaitu 26,799 kes (27.9 peratus) diikuti oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya 10,739 kes (11.2 peratus).

“Selain itu ialah Perak dengan 9,744 kes (10.2 peratus), Johor 6,326 kes (6.6 peratus) dan Kelantan 6,153 kes (6.4 peratus), manakala negeri lain pelaporan kes HFMD sekitar atau kurang daripada 5,500 kes,” katanya.

Beliau berkata, HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, iaitu sebanyak 86,230 kes (90 peratus), diikuti kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun seramai 7,878 kes (8 peratus) dan selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu seramai 1,816 kes (2 peratus).

“Berdasarka­n survelan jenis virus (enteroviru­s) penyebab HFMD di Malaysia, tiga virus utama yang menyebabka­n penularan HFMD dalam komuniti pada tahun ini ialah Enteroviru­s 71 (EV71), Coksackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16).

“Terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), iaitu kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalit­is) disahkan dijangkiti EV71 dan masih di bawah pemantauan rapi di ICU.

“Bagi kes ketiga pesakit sudah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia