Berita Harian

Bekas pengarah mampu beli kereta, kediaman RM8J

- Oleh Faris Fuad faris.fuad@bh.com.my

Kes lanjut kontrak UKSB laksana sistem VLN

Saksi dakwa kemampuan berdasarka­n pendapatan bulanan lebih RM100,000

Shah Alam: Mahkamah Tinggi semalam, diberitahu bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani mampu membeli kenderaan dan kediaman mewah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya dengan nilai keseluruha­n kira-kira RM8 juta.

Wan Quoris Shah, 42, mengesahka­n perkara itu dalam pemeriksaa­n balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddi­n Wan Ladin ketika perbicaraa­n kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata, kemampuan itu berdasarka­n pendapatan bulanan lebih RM100,000 sebagai Pengarah UKSB.

“Saya memegang jawatan itu dari 2013 hingga 2018 dengan bergaji RM10,000 pada permulaan sebelum meningkat ke RM30,000 dan RM100,000 sebulan.

“Saya ada pendapatan dari UKSB yang kira mencukupi untuk beli kenderaan dan kediaman itu. Saya tak beli guna wang tunai, sebaliknya secara pembiayaan atau pinjaman bank,” katanya.

Yang turut hadir pada perbicaraa­n itu, peguam Ahmad Zahid iaitu Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hisyam Teh Poh Teik.

Khamis lalu, Wan Quoris Shah memaklumka­n wang tunai diberikan kepada Ahmad Zahid selepas UKSB diminta untuk menghulur bantuan kewangan sebagai sumbangan politik kepada UMNO.

Bekas Pengarah UKSB itu dilaporkan berkata, Ahmad Zahid pada masa itu tidak minta secara terang-terangan, tetapi daripada percakapan­nya beliau faham bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengharapk­an sumbangan wang daripada UKSB.

Penyerahan wang biasanya dibuat setiap bulan, tetapi ada juga beberapa kali UKSB memberikan wang kepada Ahmad Zahid secara ‘one-off ’ (sekali bayar).

Pada 18 Mei lalu, bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khun yang juga saksi pendakwaan ke-15 mengesahka­n syarikatny­a menghantar wang tunai setiap bulan dalam mata wang dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bayaran kepada Ahmad Zahid itu bermula akhir 2014 berjumlah SG$200,000 sebulan sebelum meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutka­n kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta mengekalka­n kontrak perjanjian untuk membekalka­n sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementeria­n terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu mendapatka­n untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Sementara itu, Hisyam mencadangk­an tiga bekas pengurusan atasan UKSB berkonspir­asi untuk melakukan kesalahan jenayah, iaitu pengubahan wang haram, rasuah, korupsi, pecah amanah dan elak membayar cukai.

Katanya, konspirasi itu dilakukan Wan Quoris, Vui Khun dan bekas Pengurus Pentadbira­n UKSB, David Tan.

“Saya turut katakan kamu (Wan Quoris Shah) tak beri wang kepada Ahmad Zahid dan kamu berbohong. Kamu bukan seorang yang jujur.

“Kamu tidak boleh dipercayai dan apa disebut dalam pernyataan saksi sebelum ini mengenai pemberian wang kepada Ahmad Zahid tidak benar,” katanya.

 ?? (Foto Faiz Anuar/bh) ?? Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
(Foto Faiz Anuar/bh) Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia