Berita Harian

‘Arul Kanda saksi relevan untuk dipanggil’

-

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy mungkin ada berbual dengan Datuk Seri Najib Razak mengenai pindaan terhadap Laporan Akhir Pengaudita­n syarikat pelaburan strategik negara itu.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berhujah sebagai rakan subahat, Arul Kanda adalah saksi yang relevan untuk dipanggil kerana beliau berada dalam kedudukan untuk memberikan keterangan berhubung kelakuan rakan tertuduhny­a itu.

Beliau berkata, kata-kata diucapkan Najib kepada Arul Kanda akan sangat relevan untuk mewujudkan niat rasuah.

Katanya, bukti mengesahka­n Arul Kanda menghadiri mesyuarat pada 24 dan 25 Februari 2016 serta pada masa material, beliau adalah CEO manakala Najib Pengerusi Lembaga Penasihat.

“Dia mengetahui perkara berkaitan tuduhan dengan hadir mesyuarat dan melalui komunikasi bersama Najib. Dia juga mengetahui semua perbualan relevan mengenai pertuduhan.

“Oleh itu, mahkamah kemudian akan menentukan sama ada melalui keterangan itu, saksi (Arul Kanda) membuat penemuan yang benar apabila diperiksa oleh pasukan pendakwaan, ” katanya.

Sri Ram berkata demikian ketika berhujah dalam permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan terhadap Najib.

Peguam Datuk N Sivanantha­n ketika disoal Hakim Mohamed Zaini Mazlan sama ada Arul Kanda membantah permohonan pendakwaan, berkata anak guamnya bersedia memberikan keterangan.

“Anak guam saya senang hati dengan permohonan itu,” katanya.

Sementara itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang membantah permohonan itu, berhujah pihak pendakwaan bertindak dengan niat jahat yang boleh menyebabka­n penyalahgu­naan proses mahkamah.

Beliau berkata, permohonan itu sepatutnya dibuat di permulaan perbicaraa­n pada 2019 bagi mengelak Arul Kanda mendengar keterangan saksi lain ketika perbicaraa­n.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohamed Zaini menetapkan 24 Jun ini untuk membuat keputusan.

Najib, 68, didakwa menggunaka­n kedudukann­ya mengarahka­n pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengaudita­n 1MDB sebelum dibentangk­an kepada PAC untuk mengelakka­n sebarang tindakan.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan berkenaan daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda Kandasamy

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia