Berita Harian

Lebih 20,000 hektar pesisir pantai berdepan risiko kenaikan aras laut

-

Setiu: Lebih 20,000 hektar kawasan berhampira­n pantai di seluruh negara dijangka berdepan risiko kenaikan aras laut menjelang 2030.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata ia berdasarka­n kajian dilakukan menerusi dokumen Rancangan Fizikal Zon Pesisiran Pantai Negara Ke-2 (RPP-2).

Beliau berkata, risiko itu dijangka meningkat kepada 23,120 hektar pada 2050 dan 33,562 hektar pada 2100.

Katanya, menerusi kajian sama, ancaman geobencana seperti hakisan sudah berlaku di lebih 425 kilometer (km) pantai di seluruh negara dan lebih 123,000 hektar kawasan tepu bina berisiko dilanda gelombang tsunami.

“Semua maklumat pesisiran pantai itu dirangkumi sebagai Indeks Kerapuhan Pantai Negara (NCVI) yang melihat kepada tiga komponen utama iaitu CVI Fizikal, CVI Biodiversi­ti dan CVI Sosio-ekonomi yang meliputi 18 parameter pengukuran serta dibahagika­n kepada 175 Unit Perancanga­n Zon Pantai (UPZP).

“Antara penemuan NCVI yang cukup penting adalah 35 UPZP merekodkan NCVI tahap sangat tinggi meliputi 10 di Selangor, enam di Kedah serta masing-masing empat di Perak dan Pahang.

“Sebanyak 35 UPZP lagi merekodkan NCVI tahap tinggi, iaitu sebanyak tujuh di Terengganu serta masing-masing lima di Pulau Pinang, Kedah dan juga Johor,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran RPP-2, di Laman Seri Rhu Sepuluh Setiu, di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib serta Pengerusi Jawatankua­sa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak.

Reezal Merican berkata, NCVI adalah satu kaedah yang menunjukka­n kepelbagai­an ekosistem di sesebuah kawasan pesisiran pantai dan penilaian terhadap tahap keterdedah­an atau kerapuhan kawasan itu.

Katanya, ia juga bertindak sebagai sistem amaran terhadap risiko yang wujud.

“NCVI ini melihat potensi bencana yang boleh berlaku sepanjang pesisir pantai akibat daripada kerapuhan, ancaman dan keterdedah­an.

“Penemuan NCVI di dalam RPP-2 yang disokong data saintifik antaranya dari Institut Penyelidik­an Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang diterbitka­n pada 2019 menunjukka­n Malaysia terkesan dengan isu kenaikan paras air laut dan ia dijangka turut menjejaska­n kawasan pantai dalam kadar keluasan yang besar,” katanya.

 ?? (Foto Ghazali Kori/bh) ?? Reezal Merican (tengah) ketika kempen penanaman 100 juta pokok pada Majlis Pelancaran RPP-2, di Laman Seri Rhu Sepuluh Setiu, semalam.
(Foto Ghazali Kori/bh) Reezal Merican (tengah) ketika kempen penanaman 100 juta pokok pada Majlis Pelancaran RPP-2, di Laman Seri Rhu Sepuluh Setiu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia