Berita Harian

Dagangan Unitrade di bursa bermula lemah

-

Pengedar dan pemborong bahan binaan, Unitrade Industries Bhd menyaksika­n penampilan pertama di Pasaran ACE semalam pada diskaun 5.5 sen atau 17 peratus lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 32 sen.

Urus niaganya dibuka pada 26.5 sen dengan sejumlah 13.8 juta saham saling berpindah tangan.

Pengarah Urusannya, Nomis Sim Siang Leng, berkata biarpun penyenarai­an itu dilihat kurang sesuai pada masa ini akibat persekitar­an pasaran global, syarikat itu sebaliknya yakin dengan asas sedia ada dan akan terus berkembang tanpa mengambil kira harga sahamnya semalam.

“Penurunan semalaman Wall Street yang sebegitu mendadak telah memberi kesan kepada seluruh dunia dan di luar kawalan kami. Namun, kami yakin asasasas syarikat kekal kukuh. Kami lebih mengambil kira pandangan jangka panjang syarikat, perniagaan serta harga saham itu sendiri,” katanya pada sidang media secara maya mengenai penyenarai­an Unitrade di Pasaran ACE, semalam.

Siang Leng berkata, susulan langkah penempatan semula gudang dengan skala saiz lebih sekali ganda daripada sebelum ini serta jumlah kutipan IPO, syarikat itu mempunyai kapasiti serta kemampuan meningkatk­an jumlah inventori serta rangkaian produk untuk memenuhi permintaan daripada sektor pembinaan.

“Malah, kami juga adalah antara yang pertama di Malaysia yang mewujudkan pusat fabrikasi paip baharu dalam usaha meningkatk­an lagi perkhidmat­an dengan nilai tambah kepada pelanggan,” katanya.

Siang Leng juga menyifatka­n kemudahan itu akan memberi banyak manfaat kepada pelanggan, selain membabitka­n jumlah tenaga kerja yang lebih kecil, mempercepa­t kemajuan pembinaan serta penggunaan ruang yang lebih cekap di tapak binaan.

Syarikat industri yang berpangkal­an di Selangor itu berjaya mengumpulk­an sejumlah RM100 juta daripada terbitan awam menerusi IPO dengan RM50.5 juta akan dimanfaatk­an sebagai modal kerja, manakala RM39.8 juta bagi tujuan pembayaran semula pinjaman bank.

Selain itu, sejumlah RM5 juta akan diperuntuk­kan bagi perbelanja­an modal mewujudkan pusat fabrikasi paip, manakala baki RM4.7 juta untuk menampung perbelanja­an penyenarai­an itu.

Penyenarai­an itu babitkan terbitan awam 312.5 juta saham biasa baharu pada harga 32 sen sesaham atau kira-kira 20 peratus daripada modal saham ditambah dan berjaya mengumpul RM100 juta, selain tawaran penjualan 125 juta saham sedia ada melalui penempatan persendiri­an kepada pelabur terpilih. BERNAMA

 ?? (Foto ihsan Unitrade) ?? Nomis (lima dari kanan) pada majlis penyenarai­an syarikat di Pasaran ACE, semalam.
(Foto ihsan Unitrade) Nomis (lima dari kanan) pada majlis penyenarai­an syarikat di Pasaran ACE, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia