Berita Harian

Letak calon muda ada kaitan kesedaran politik

-

Kuala Lumpur: Komitmen rata-rata parti politik untuk meletakkan calon muda dan muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dilihat ada kaitan dengan kebangkita­n kesedaran politik orang muda.

Beberapa penganalis­is politik percaya ia juga hasil maklum balas umum terhadap penurunan umur layak mengundi kepada 18 tahun atau Undi 18 yang dilaksanak­an ketika ini.

Penganalis­is politik, Prof Dr Wong Chin Huat, berkata langkah itu juga dilihat selaras dengan pendaftara­n pengundi automatik (AVR) yang menambahka­n bilangan dan peratusan pengundi muda.

“Hampir 30 peratus daripada jumlah pengundi adalah bawah umur 30 tahun dan peratusan ini semakin tinggi di kawasan bandar yang ada lebih peluang pekerjaan dan pendidikan," katanya kepada BH, ketika mengulas kenyataan beberapa parti politik yang mahu meletakkan calon muda pada PRU-15.

Chin Huat berkata, pengundi muda, terutama yang akan mengundi kali pertama mungkin kurang sentimen menyokong mana-mana parti, malah pada PRN Melaka dan Johor, parti terbesar dalam kalangan semua pengundi yang layak bukanlah BN, sebaliknya pengundi atas pagar.

Beliau yang merujuk kumpulan itu sebagai ‘PAMU’ atau ‘Parti Aku Malas Undi’, mencecah 34 peratus di Melaka dan selepas pelaksanaa­n UNDI 18 serta AVR, ia mencecah 45 peratus di Johor.

“Penentu undi yang ada mungkin bukan hanya mereka yang setia kepada parti, malah turut melihat kepada kebolehan calon serta isu yang dibawa parti dan calon. Pengundi muda mungkin lebih prihatin siapa dapat selesaikan masalah mereka dalam hidup berbanding isu siapa jadi perdana menteri.

“Pengundi ini juga pentingkan isu kos sara hidup, kos rumah yang melambung naik, kesesakan lalu lintas, banjir kilat yang berlaku bila-bila masa akibat perubahan iklim, perhutanan dan perancanga­n bandar yang lemah, salah guna kuasa serta kemeleseta­n ekonomi yang mungkin melanda.

“Calon paling pandai menawarkan penyelesai­an kepada masalah ini, bukan saja menghulurk­an bantuan atau menuding jari kepada parti lawan, dilihat berpeluang memikat hati pengundi terutama PAMU. Jika politiknya tetap cara lama, calon muda pun mungkin tidak berguna,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia