Berita Harian

BN, UMNO kekal tanding secara solo di Terengganu pada PRU-15

-

Kuala Terengganu: Barisan Nasional (BN) dan UMNO tetap dengan keputusan untuk bertanding secara solo di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta lapan kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Badan Perhubunga­n UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat, berkata keputusan bertanding secara solo sudah diumumkan oleh Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said sebelum ini.

“Kita tidak berganjak dengan keputusan bertanding secara solo terutama mempertaha­nkan 10 daripada 32 kerusi DUN dan satu daripada lapan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU lalu.

“Kita juga akan merampas semula kerusi Parlimen Hulu Terengganu yang dilarikan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang menang atas tiket BN,” katanya dihubungi semalam.

Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Senator Datuk Razali Idris, berkata parti itu akan mempertaha­nkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Terengganu bersama PAS.

Katanya, sebagai parti baharu di Terengganu, pihaknya tidak akan menuntut kerusi untuk ditandingi pada PRU-15, sebaliknya menyerahka­nnya kepada PAS.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) BERSATU berkata, PAS melalui perbincang­an pengagihan kerusi mencadangk­an untuk menyerahka­n 10 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen dikuasai BN kepada BERSATU.

Razali berkata, BERSATU akan mengkaji kemampuan dan kekuatan parti itu di kerusi DUN, manakala kerusi Parlimen akan ditentukan PAS.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia