Berita Harian

Bekas tentera tidak berpencen mohon elaun RM300 sebulan

- Oleh Latifah Arifin Safuri Kamarudin bhnews@bh.com.my

Kerajaan diminta kaji bantuan sesuai kenang jasa perajurit pertahan negara

Kuala Lumpur: Bekas anggota tentera tidak berpencen terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menampung kos hidup yang semakin tinggi.

Ada yang mengajar kawad sekiranya mendapat jemputan sekolah, mengawal lalu lintas untuk majlis kenduri kahwin dan meminta isteri menjual kerepek pisang.

Di Baling, Kedah, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohamad Isa Ahmad, 57, dari Kampung Bukit Badak Ketemba, Kuala Pegang, berkata agensi kerajaan sepatutnya mengkaji semula bantuan kepada tentera yang tidak berpencen kerana mereka sukar mendapat pekerjaan, selepas menamatkan perkhidmat­an.

Katanya, selepas berhenti daripada ATM, beliau terpaksa pulang ke kampung dan cuba melakukan pelbagai pekerjaan termasuk dalam pertanian menggunaka­n wang simpananny­a.

“Nasib tidak selalunya cerah sehingga saya terpaksa berusaha mencari kerja lain. Ada rakan veteran lain melalui kehidupan lebih sukar kerana sudah mencari pekerjaan, sedangkan kami ada keluarga perlu disara.

“Isteri saya menjual kerepek pisang kerana kami mempunyai anak yang masih bersekolah,” katanya.

Mohamad Isa menamatkan perkhidmat­an bersama ATM selepas bertugas selama 13 tahun dan pernah dihantar mengikuti misi keamanan di Somalia, selama enam bulan pada tahun 1994.

Katanya, dia mula berkhidmat pada 1984 di Kem Rasah Negeri Sembilan, Sandakan, Tambun, Ipoh dan terakhir di Sungai Petani pada 1994 dan mendapat Pingat Jasa Malaysia (PJM) dua tahun lalu..

Bekas tentera Regimen Gerak Khas, Jeton Jamal Hashim, 64, mengakui kos sara hidup yang tinggi ketika ini, amat membebanka­n pesara tanpa pendapatan tetap sepertinya.

“Saya tamat perkhidmat­an dalam tentera selepas 13 tahun bertugas. Untuk dapat pencen, perlu lepasi 21 tahun perkhidmat­an. Selepas berhenti awal, saya lebih banyak bekerja sendiri, antaranya bekerja sebagai pelatih bagi aktiviti lasak di hutan.

“Disebabkan COVID-19, permintaan untuk aktiviti sedemikian merosot. Jadi, saya banyak buat kerja kampung.

“Dapatlah RM300 sebulan. Kadang-kadang jika tiada kerja, tak ada pendapatan langsung.

“Mujur isteri ada ambil tempahan menjahit. Jadi, dapatlah sama-sama membantu untuk sara hidup,” katanya yang menetap di Tanjung Karang, Selangor.

Jeton berkata, beliau melakukan pelbagai kerja termasuk mengajar kawad sekiranya mendapat jemputan sekolah, bertugas mengawal lalu lintas untuk majlis kenduri dan kerja di kebun.

“Susah memang susah. Hidup kami ini tak semewah orang yang ada bekerja tetap. Sebab itu, saya tidak memilih, apa sahaja tawaran kerja yang ada dan mampu untuk dilakukan, saya terima.

“Saya kesal kerana ramai rakan seperjuang­an yang berkhidmat menentang komunis dulu sehingga ada yang lumpuh, buta, putus kaki dan terlantar di rumah, dipandang sepi.

“Kenanglah jasa kami. Bila kami minta bantuan, seolah-olah jadi penghinaan pula, sedangkan itu realitinya sehingga ada yang merempat, terpaksa tidur di bawah jambatan kerana kesempitan hidup,” katanya.

Sementara itu, bekas tentera yang diuji dengan penyakit kanser darah, Ishak Husin, 63, kecewa kerana tidak ada bantuan termasuk, menampung kos rawatan di hospital.

“Sudah tujuh bulan saya menderita sakit. Setakat ini, langsung tidak terima apa-apa bantuan dari agensi kerajaan.

“Kalau ada bantuan untuk pesara tentera, selalunya setahun sekali.

“Sekarang kos rawatan makin tinggi. Setiap hari saya ulang alik ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan radioterap­i dan tiga minggu sekali, perlu buat kimoterapi di Hospital Ampang,” katanya.

Sementara itu, persatuan veteran memohon kerajaan memberi elaun sekurang-kurangnya RM300 sebulan kepada bekas perajurit tidak berpencen.

Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Selangor, Faridah Mat Husain, berkata agensi kerajaan tidak wajar memandang remeh isu kesempitan hidup pesara tentera tidak berpencen.

Katanya, di Selangor saja, lebih 80 peratus ahli persatuan itu berada dalam kelompok B40 dan amat memerlukan bantuan.

 ?? (Foto Safuri Kamarudin/bh) ?? Mohamad Isa merayu kerajaan bantu kebajikan bekas anggota tidak berpencen yang sukar mendapat pekerjaan selepas tamat perkhidmat­an.
(Foto Safuri Kamarudin/bh) Mohamad Isa merayu kerajaan bantu kebajikan bekas anggota tidak berpencen yang sukar mendapat pekerjaan selepas tamat perkhidmat­an.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia