Berita Harian

Klinik jual produk psikotropi­k kepada penagih dadah diserbu

-

Seremban: Kementeria­n Kesihatan menyerbu sebuah klinik dan merampas produk psikotropi­k yang diseludup ke negara ini, bernilai kira-kira RM64,000 untuk dijual kepada penagih dadah.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid, berkata petugas Cawangan Penguatkua­saan Farmasi (CPF) negeri itu mengesan kegiatan klinik swasta di bandar ini, sebelum premis diserbu Khamis lalu.

Katanya, sejumlah produk dianggarka­n bernilai RM64,273 dirampas.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu dijalankan oleh 15 Pegawai CPF Negeri Sembilan, CPF Kuala Lumpur dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan.

“Operasi merampas 17 keluaran yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), tujuh jenis keluaran psikotropi­k yang berdaftar dan lima jenis peranti digital.

“Siasatan awal mendapati produk itu dibawa masuk dari negara luar menggunaka­n laluan yang tidak sah dan dibekalkan kepada penagih dadah di Negeri Sembilan,” katanya semalam.

Beliau berkata, maklumat daripada orang awam membantu menjayakan operasi itu.

Katanya, sumber produk itu tidak diketahui dan penggunaan produk boleh membahayak­an kesihatan orang awam.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan mengikut seksyen 32(2) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan pihak yang berkaitan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

“Mengikut seksyen 30(5) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia