Berita Harian

RM44.05 juta bina, baiki rumah rosak di Pahang

-

Kuantan: Sejumlah RM44.05 juta diperuntuk­kan untuk membina dan membaik pulih rumah di negeri ini yang musnah serta rosak akibat banjir Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan itu diterima daripada kerajaan Persekutua­n, Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kerajaan negeri.

Katanya, melalui peruntukan itu, sebanyak 148 rumah akan dibina baharu dengan harga setiap rumah RM75,000 untuk tidak bertiang dan RM100,000 pula rumah bertiang.

“Kerja pembinaan 148 rumah akan bermula bulan ini dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pertengaha­n September depan.

“Sebanyak 3,948 unit rumah akan dibaik pulih dengan anggaran kos sehingga RM15,000 sebuah.

“Kerja verifikasi dan pembaikan kerosakan rumah mangsa telah bermula awal Januari lalu dan sebahagian­nya masih lagi berjalan yang dijangka kerja itu selesai selewat-lewatnya Ogos depan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Wan Rosdy berkata, pelbagai agensi terbabit dalam pelaksanaa­n kerja membina rumah baharu dan membaik pulih rumah terbabit.

Katanya, agensi berkenaan ialah Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya, Syarikat Perumahan Negara Berhad, PR1MA Malaysia, FELCRA Bina serta Giat Mara.

“Kerajaan negeri juga telah melantik 90 kontraktor di seluruh negeri Pahang buat masa ini bagi melaksanak­an kerja terbabit, manakala 13 kontraktor lagi akan dilantik dalam masa terdekat.

“Pada Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang di Bentong hari ini (semalam), saya menyerahka­n surat lantikan kepada kontraktor dari Bentong dan Raub.

“Pemantauan pelaksanaa­n akan terus dilaksanak­an sehingga kerja pembinaan dan baik pulih rumah disiapkan dengan sempurna.

“Adalah diharapkan dengan bantuan ini mangsa banjir dapat menikmati keselesaan hidup selepas bencana melanda.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dalam soal kebajikan rakyat dan akan menyalurka­n segala bentuk bantuan yang sewajarnya bagi membela nasib mereka yang memerlukan,” katanya.

 ?? ?? Menteri Besar Pahang
Menteri Besar Pahang

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia