Berita Harian

Malaysia jadi tuan rumah AWE Asia Timur

Usahawan wanita 10 negara kongsi pengalaman tingkat kewangan, perniagaan

- Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 70 usahawan wanita berpeluang menyertai Akademi Usahawan Wanita (AWE), iaitu program kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Inisiatif Pembanguna­n dan Kemakmuran Wanita Global.

Usahawan yang dipilih menerusi kohort ketiga itu adalah dari enam negeri, meliputi Lembah Klang, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Program selama setahun yang turut mendapat kerjasama Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (WENA) itu akan didedahkan dengan program pembelajar­an dalam talian, latihan kemahiran, bimbingan dan sokongan mentor.

Kuasa Usaha Kedutaan AS, Michael Newbill, berkata AWE adalah sebahagian daripada kempen ‘Embassy’s Wanita Empowered’ bertujuan menggalakk­an kesaksamaa­n dalam peluang yang ada, menyokong pertumbuha­n ekonomi dan mengukuhka­n hubungan ekonomi antara AS dan Malaysia.

Katanya, program berkenaan memberi banyak manfaat kepada wanita kerana kejayaan mereka bukan untuk diri sendiri tetapi terhadap keluarga, masyarakat dan negara.

“Saya percaya kejayaan usahawan wanita ini mampu menjadi dorongan kepada wanita lain yang berhasrat berjaya dalam kehidupan mereka dalam bidang perniagaan,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran AWE di sini, baru-baru ini.

Majlis itu disempurna­kan oleh Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun. Yang hadir sama, Presiden WENA, Nuraizah Shamsul Baharin.

Newbill berkata, susulan program berkenaan Malaysia akan menjadi tuan rumah penganjura­n AWE Asia Timur dan Sidang Kemuncak Pasifik yang dijadualka­n pada Mac tahun hadapan.

Katanya, ia akan menghimpun­kan usahawan wanita dari 10 negara di rantau itu bagi meraikan pencapaian dan berkongsi pengalaman.

“Kita akan menjemput peserta dari 10 negara untuk datang ke Malaysia bagi berkongsi amalan terbaik mereka.

“Selain itu, ia akan berbincang mengenai bagaimana aktiviti eksport dan dagangan antara negara termasuk cabaran yang dihadapi usahawan wanita, dan cara mereka mengatasin­ya,” katanya.

Beliau berkata, sidang kemuncak berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha membantu meningkatk­an sumber kewangan, membina rangkaian serta usaha mengembang­kan perniagaan sama ada dalam talian atau secara fizikal.

Katanya, komponen dalam usaha itu termasuk bimbingan dengan semua usahawan wanita terbabit akan mempunyai mentor.

Sementara itu, Nuraizah berkata, menjelang sidang kemuncak berkenaan, negara yang terbabit akan mengadakan pertemuan secara dalam talian terlebih dahulu yang akan diadakan antara Januari hingga Februari depan.

Katanya, beliau melihat sidang kemuncak itu amat penting untuk mengukuhka­n semula perniagaan terutama dalam kalangan usahawan wanita yang terjejas pada pandemik COVID-19.

“Saya berharap sidang yang akan masuk ke tahun ketiga ini akan berjalan dengan lancar dengan pertambaha­n Papua New Guinea yang akan kali pertama menyertain­ya nanti,” katanya.

Mengulas mengenai AWE, beliau berkata program yang diadakan sejak 2020 itu bermula dengan penyertaan 30 usahawan wanita terpilih sahaja.

Namun katanya, ia kini berjaya menghimpun­kan seramai 180 usahawan wanita yang mahu berjaya dan bangkit semula selepas terkesan dengan COVID-19 lalu.

 ?? (Foto Amirudin Sahib /BH) ?? Rina (dua dari kiri) bersama Newbill (dua dari kanan) dan Nuraizah pada majlis pelancaran AWE di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
(Foto Amirudin Sahib /BH) Rina (dua dari kiri) bersama Newbill (dua dari kanan) dan Nuraizah pada majlis pelancaran AWE di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia