Berita Harian

NATO mahu Barat hantar lebih banyak senjata berat ke Ukraine

-

The Hague: Negara-negara Barat mesti menghantar lebih banyak senjata berat kepada Ukraine bagi menentang kemaraan Russia di timur negara itu, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenber­g.

“Ya, Ukraine sepatutnya mempunyai lebih banyak senjata berat,” kata Stoltenber­g pada sidang media di The Hague kelmarin, selepas bertemu tujuh pemimpin sekutu NATO di eropah menjelang sidang kemuncak pentingnya.

Stoltenber­g berkata, NATO sudah meningkatk­an penghantar­an dan mereka akan bertemu di Brussels untuk menyelaras­kan bentuk sokongan seterusnya, termasuk senjata berat.

“Mereka benar-benar bergantung terhadap itu (senjata berat) untuk menentang penceroboh­an kejam Russia,” katanya.

Ukraine sudah berulang kali memohon senjata berat dari Barat, mengkritik beberapa pemimpin Eropah kerana gagal menghantar senjata yang disifatkan Kyiv perlu untuk menghalang kemaraan tentera Moscow.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dan Perdana Menteri Denmark, Mette Frederikse­n menjadi tuan rumah kepada Stoltenber­g dan pemimpin Poland, Romania, Latvia, Portugal dan Belgium menjelang sidang kemuncak NATO di Madrid akhir bulan ini.

Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki kesal bahawa Barat tidak melakukan secukupnya bagi menyokong negara jirannya, Ukraine.

“Kami tidak melakukan secukupnya untuk mempertaha­nkan Ukraine, menyokong rakyat Ukraine, menyokong kebebasan dan kedaulatan mereka.

“Inilah sebabnya saya menggesa, meminta kamu melakukan banyak lagi untuk menghantar senjata, artileri ke Ukraine. Mereka perlukan ini untuk mempertaha­nkan negaranya,” katanya.

Katanya, negara-negara Barat akan dilihat tidak mempunyai kredibilit­i jika Ukraine kalah dalam usahanya menentang Russia.

“Ini akan menjadi kegagalan dan malapetaka terhadap Kesatuan Eropah (EU), nilai kami dan NATO,” kata Morawiecki. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia