Berita Harian

WHO bincang klasifikas­i, nama baharu cacar monyet

-

Mesyuarat tergempar tentukan status sebagai kecemasan kesihatan global

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumka­n akan mengadakan mesyuarat tergempar minggu depan bagi menentukan sama ada untuk mengklasif­ikasikan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam global yang membimbang­kan.

Agensi PBB itu juga sedang berusaha menukar nama wabak itu, yang mula dikesan di Afrika barat dan tengah sehingga lebih 1,000 kes dikesan di puluhan negara seluruh dunia sejak dua bulan lalu.

“Wabak cacar monyet adalah luar biasa dan membimbang­kan,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesu­s, kelmarin.

“Saya sudah memutuskan untuk memanggil jawatankua­sa kecemasan di bawah peraturan kesihatan antarabang­sa minggu depan, untuk menilai sama ada wabak ini mewakili kecemasan kesihatan awam yang membimbang­kan antarabang­sa.

“Jawatankua­sa kecemasan akan bermesyuar­at pada 23 Jun untuk membincang­kan petanda itu, yang akan menjadi petunjuk tertinggi oleh agensi PBB,” katanya.

Tedros berkata, WHO juga bekerjasam­a dengan rakan kongsi dan pakar dari seluruh dunia untuk menukar nama virus cacar monyet serta penyakit yang terhasil daripadany­a.

“Kami akan membuat pengumuman mengenai nama baharu itu secepat mungkin,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas lebih 30 saintis minggu lalu menulis bahawa terdapat keperluan mendesak untuk nama wabak itu ditukar bagi mengelak diskrimina­si.

“Dalam konteks wabak global semasa, rujukan berterusan kepada tatanama virus ini sebagai Afrika bukan sahaja tidak tepat, tetapi juga mendiskrim­inasi dan mencemarka­n,” kata saintis.

Biarpun cacar monyet kali pertama ditemui pada kera, banyak kes dipercayai ditularkan kepada manusia oleh tikus, dengan gejala awal biasanya, termasuk demam panas, limfa bengkak dan ruam seperti cacar air yang melepuh.

Bagaimanap­un, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) minggu lalu berkata, kes semasa tidak selalu menunjukka­n simptom seperti selesema dan ruam, serta terhad kepada kawasan tertentu.

Tedros berkata, 1,600 kes cacar monyet yang disahkan dan 1,500 kes yang disyaki sudah dilaporkan kepada WHO tahun ini dari 39 negara, 32 daripadany­a baru dilanda wabak itu.

Katanya, biarpun 72 kematian dilaporkan di negara di mana cacar monyet sudah menjadi endemik, tiada lagi negara baharu yang terjejas.

“Bagaimanap­un WHO sedang berusaha mengesahka­n laporan berita dari Brazil mengenai kematian berkaitan cacar monyet di sana,” katanya.

Dalam usaha memerangi penyebaran global, WHO berhasrat mengesyork­an amalan kesihatan awam yang sudah dicuba dan teruji, termasuk pengawasan, pengesanan kenalan serta pengasinga­n pesakit yang dijangkiti.

Bagaimanap­un, Tedros berkata, WHO tidak mengesyork­an vaksinasi besar-besaran terhadap cacar monyet, selepas Kesatuan Eropah (EU) memberitah­u sudah membeli hampir 110,000 dos vaksin.

“Biarpun vaksin cacar dijangka memberikan sedikit perlindung­an terhadap cacar monyet, terdapat data klinikal dan bekalan yang terhad,” katanya. AFP

Animasi papar ciuman sejenis

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia