Berita Harian

Jerman belasah Itali

-

Berlin: Jerman menyamai kemenangan terbesar mereka mengatasi juara Eropah, Itali dengan Timo Werner meledak dua gol ketika menang 5-2 pada saingan Liga Negara-negara, semalam.

Keputusan di Moenchengl­adbach menyamai kejayaan 5-2 Jerman mengatasi Azzurri di Stadium Olimpik Berlin pada 1939.

Kapten Jerman, Manuel Neuer berkata keputusan itu pencapaian penting buat tuan rumah.

“Anda boleh katakan hari ini bahawa kami mahu mendominas­i,” katanya.

Gol awal Joshua Kimmich dan penalti Ilkay Gundogan di Borussia Park meletakkan Jerman 2-0 di depan sebelum jaringan terus terjadi pada awal babak kedua.

Thomas Mueller meledak gol ke-44 buat Jerman pada penampilan ke-116 dalam karier antarabang­sanya sebelum Werner dua kali menemui sasaran dalam tempoh yang pantas.

Gol sagu hati Itali hadir pada lewat permainan menerusi penyerang berusia 18 tahun, Wilfried Gnonto dan Alessandro Bastoni.

“Kami bermain bola sepak yang sangat bagus dan berhak menang,” kata Gundogan. AFP

Piala Dunia 2022

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia