Berita Harian

FAM enggan ‘dibuli’ di Piala Asia 2023

-

Kuala Lumpur: Harimau Malaya perlu menggunaka­n tempoh kirakira setahun untuk melakukan persiapan rapi bagi mengelak menjadi mangsa buli kepada pasukan besar di pusingan akhir Piala Asia 2023.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaska­n bahawa pihaknya akan berbincang dengan jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon mengenai perancanga­n yang harus dilakukan dalam mempersiap­kan skuad Harimau Malaya yang lebih mantap.

Beliau berkata, persiapan itu termasuk mengadakan perlawanan persahabat­an dengan pasukan yang lebih besar dan tidak lagi boleh menumpukan kepada lawan dari rantau Asia Tenggara.

“Kita perlu lihat pasukan ini akan dipersiapk­an dalam tempoh setahun lagi jika (Piala Asia) bermain 2023, kemungkina­n juga bermain 2024 selepas tuan rumah akan dibincangk­an pada Oktober depan.

“Kalau 2024 lagi bagus, maknanya kita ada persiapan dan persiapan kali ini adalah lebih komprehens­if yang mana kita perlu untuk membawa pasukan Malaysia lebih jauh lagi.

“Kita tak boleh bermain dalam ASEAN lagi, saya nak lihat kita pergi lebih jauh dan Kim Pan Gon sudah menyiapkan persiapan untuk setahun dan saya yakin dia tahu apa yang dia buat.

“Apabila masuk ke pusingan akhir Piala Asia kita tak nak dibuli. Mungkin kedudukan teratas ada pasukan kuat seperti Korea Selatan, Jepun dan Australia, tapi biarlah kita melawan,” katanya.

Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menundukka­n Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Selain itu, Hamidin turut berterima kasih kepada semua pihak terutama Ultras Malaya dan seluruh penyokong Harimau Malaya yang sentiasa menyokong pasukan untuk mencipta kejayaan itu.

“Terima kasih kepada semua kelab yang dapat melahirkan pemain, walaupun mungkin sebahagian­nya tak ada di sini. Kita lihat JDT banyak menyumbang pemain, tapi kita perlu melihat juga terhadap pihak lain, termasuk MFL yang memberi sokongan kepada pemain serta pasukan.

“Saya perlu juga menyatakan bahawa sokongan kuat di belakang tabir daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Walaupun mungkin ramai yang ada persepsi lain, tapi suka atau tidak saya sudah bercakap dengan Tunku Ismail bahawa kita mengikut kelab JDT buat kali pertama layak,” katanya.

Pan Gon menerima sehelai baju daripada penyokong ketika meraikan kemenangan mengalahka­n Bangladesh 4-1, sekali gus layak ke Piala Asia 2023.

 ?? (Foto Aizuddin Saad / BH) ??
(Foto Aizuddin Saad / BH)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia