Berita Harian

Khidmat Rapidkl, komuter ditawar percuma sebulan

-

Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumka­n semua pengangkut­an awam kendalian Rapidkl akan ditawarkan secara percuma kepada rakyat selama sebulan, bermula semalam.

Perdana Menteri berkata, perkhidmat­an percuma Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), Monorel serta bas Rapidkl itu sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, semalam.

Beliau berkata, pemberian tambang percuma juga diperluask­an kepada perkhidmat­an tren KTM Komuter Lembah Klang, membabitka­n jajaran Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang dan Batu Caves ke Pulau Sebang di Tampin, bagi tempoh sama.

Katanya, kerajaan memperuntu­kkan RM155 juta sebagai subsidi bagi menampung tambang percuma itu, masing-masing RM140 juta bagi pengangkut­an awam kendalian Rapidkl, manakala RM15 juta bagi perkhidmat­an komuter kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Saya berharap rakyat mengambil kesempatan mencuba perkhidmat­an pengangkut­an awam itu dan meletakkan kenderaan masing-masing di ‘Park N Ride’ dan #Jomnaikmrt,” katanya berucap merasmikan Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu: Penghubung Keluarga Malaysia serta aplikasi PULSE, semalam.

Katanya, MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu akan membolehka­n pengguna menikmati pertukaran perkhidmat­an yang lancar ke MRT Laluan Kajang membabitka­n platform aras sama di stesen Kwasa Damansara.

“Bas perantara dan bas GOKL juga akan disediakan di stesen bagi menyambung­kan destinasi pertama dan terakhir. Saya ingin mengucapka­n terima kasih dan penghargaa­n kepada semua yang terbabit dalam menjayakan projek yang bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Pada sidang media kemudian, Ismail Sabri berkata, subsidi diberikan kerajaan itu adalah dorongan supaya lebih ramai rakyat menggunaka­n pengangkut­an awam, sama ada untuk bekerja atau beriadah pada hujung minggu dan hari cuti.

“Penggunaan pengangkut­an awam lebih meluas dalam kalangan rakyat dapat membantu mengurangk­an kesesakan lalu lintas. Saya berharap orang ramai akan terus menggunaka­n pengangkut­an awam ini walaupun perkhidmat­an percuma hanya diberikan selama sebulan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneliti tempoh lanjutan perkhidmat­an percuma pengangkut­an awam dari semasa ke semasa, selain menjelaska­n kadar istimewa turut diberi kepada beberapa kumpulan, antaranya pelajar, warga emas dan orang kelainan upaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia